Friday, November 2, 2007

TOPIK 6 PENGAJARAN MIKRO DAN MAKRO

PENGENALAN

Bagi seorang guru pengajaran mikro dan makro biasa bagi mereka kerana mereka pernah mengalaminya semasa mengikuti kursus perguruan di universiti atau di maktab perguruan. Bagi bakal guru pula mereka akan mengalaminya sebelum mereka keluar membuat latihan mengajar. Melalui pengajaran mikro dan makro anda didedahkan dengan pengajaran seolah-olah di dalam bilik darjah dan anda akan mengetahui kelemahankelemahan dan kekuatan-kekuatan anda melalui komen yang dibuat oleh pensyarah atau pun rakan sekelas anda. Disamping itu anda berpeluang menonton hasil pengajaran anda melalui rakaman yang dibuat di bilik mikro untuk anda sendiri menilai pengajaran anda dan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anda. Pengajaran mikro amat penting untuk mengesan kelemahan-kelemahan setiap bahagian pengajaran supaya dapat diperbaiki lebih awal.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan maksud pengajaran mikro dan makro;
2. menerapkan kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik pengajaran di dalam pengajaran mikro dan makro;
3. membuat pengajaran mikro dan makro; dan
4. membuat refleksi.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Topik ini menggambarkan tentang bentuk pengajaran yang sesuai dilaksanakan bagi melatih guru pelatih yang akan membuat latihan amali (praktikum) di sekolah. Ia juga dapat menjelaskan situasi sebenar pengajaran mikro dan akan membantu guru pelatih melaksanakan pengajaran makro di dalam bilik darjah. Jika diteliti ia akan banyak membantu memperbaiki kelemahan di dalam bahagian-bahagian tertentu semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Melalui pengajaran mikro, pensyarah, rakan dan pelatih tersebut boleh memberi komen tentang pengajaran tersebut dan seterusnya guru pelatih berkenaan boleh memperbaiki dan mengisi yang “lompang”.