Friday, November 2, 2007

TOPIK 3 STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENGENALAN

Membantu kanak-kanak untuk belajar dengan yakin, dengan penuh tumpuan dan berkesan amat penting dalam persekolahan di peringkat rendah. Keadaan yang berjaya memandu murid untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran akan menjadikan mereka seronok dan terangsang untuk melibatkan diri sepenuhnya. Hal ini menunjukkan strategi, kaedah dan teknik yang sesuai dan berpatutan harus difahami oleh guru. Tajuk ini mebincangkan konsep dan prinsip strategi, kaedah dan teknik serta menghuraikan cara amalannya dalam dan luar bilik darjah supaya pengajaran mata pelajaran bidang Kajian Sosial berlangsung dengan berkesan dan pembelajaran berlaku dengan penuh keseronokan.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menyatakan maksud strategi, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran; dan

2. menjelaskan cara aplikasi strategi, pelbagai kaedah dan teknik untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Bidang pembelajaran dalam disiplin Kajian Sosial melibatkan sosiobudaya kehidupan murid. Dengan itu sudah pasti pembelajaran lebih bermakna apabila murid sendiri melakukan aktiviti dan menyampaikan sendiri pengalaman mereka. Dalam masa yang sama guru sebagai fasilitator menjadi pemangkin kepada pembelajaran berkesan.

Seterusnya apabila aktiviti pembelajaran dialami oleh murid secara langsung, dipandu oleh guru dan dibantu dengan penggunaan bahan mengajar menarik, sudah pasti hasil pembelajaran boleh dicapai secara optimum. Ini menunjukkan bahawa strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan haruslah sesuai untuk mendorong kepada pencapaian hasil pembelajaran yang diharapkan.

No comments: