Friday, November 2, 2007

Topik 10 Tutorial








TOPIK 10 REFLEKSI

PENGENALAN

Topik ini memberikan tumpuan kepada kemahiran membuat refleksi. Kemahiran membuat refleksi yang didedahkan bertujuan agar anda dapat menjadikannya sebagai suatu amalan dalam proses pengajaran pembelajaran, seterusnya dapat meningkatkan profesionalisme keguruan. Melalui amalan refleksi juga anda dapat menilai aspek-aspek yang menjadi kekuatan dan kelemahan anda sewaktu proses pengajaran pembelajaran berjalan. Adalah diharapkan anda mendapat kefahaman yang jelas dan dapat menggunakan refleksi sebagai satu kaedah untuk anda menilai keberkesanan teori dan amali sewaktu anda melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menyatakan maksud refleksi;
2. menjelaskan kepentingan membuat refleksi dalam pengajaran dan pembelajaran;
3. berupaya membuat refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran; dan
4. menjadikan refleksi sebagai budaya kerja profesion keguruan.

Topik 9 Tutorial












TOPIK 9 PENYELIDIKAN TINDAKAN

PENGENALAN

Seseorang guru perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam, menguasai kemahiran mengajar, mempunyai kefahaman terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta mempunyai sikap positif terhadap pekerjaannya. Kualiti-kualiti tersebut merupakan ciri-ciri profesionalisme keguruan. Di dalam konteks perkembangan profesionalisme keguruan, usaha meningkatkan teknik pengajaran dalam bilik darjah amat digalakkan. Guru harus sentiasa berusaha membawa perubahan dan penyesuaian teknik pengajaran dan pembelajaran demi meningkatkan prestasi di samping memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi dalam profesion mereka. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan menguasai beberapa kaedah asas seperti menjalankan kajian terhadap kesan aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka di dalam bilik darjah, menggunakan teknik refleksi dan menguasai kemahiran penilaian kendiri untuk meningkatkan kemahiran kemahiran pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Di dalam topik ini, anda akan didedahkan kepentingan dan proses menjalankan penyelidikan tindakan.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menyatakan fungsi dan kepentingan penyelidikan tindakan;
2. merancang dan melaksanakan penyelidikan tindakan;
3. menganalisis data dan membuat pelaporan dapatan penyelidikan; dan
4. membuat penilaian penyelidikan tindakan yang dijalankan dan mampu membuat penambahbaikan.

Topik 8 Tutorial








TOPIK 8 PROFESIONALISME GURU

PENGENALAN

Adakah pekerjaan perguruan layak digolongkan dalam status profesional? Apakah sifat dan kualiti yang seharusnya dimiliki oleh seseorang yang bergelar guru? Apakah kriteria yang perlu ada untuk melahirkan guru berkesan? Persoalan-persoalan inilah yang akan dibincangkan untuk melihat ciri-ciri guru, sikap dan sahsiah yang sepatutnya dimiliki seorang guru dan sejauh mana komitmen dan dedikasi yang diperlukan oleh seorang yang bergelar guru. Selanjutnya, bagi melahirkan guru berkesan, guru perlu menguasai ilmu, mempunyai pengetahuan dan keupayaan dalam aspek pengurusan kemahiran pengajaran dan pembelajaran di samping mempunyai kreativiti.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menyatakan ciri-ciri guru yang cemerlang;
2. menerangkan sikap dan sahsiah seorang guru yang profesional;
3. merumuskan kriteria guru berkesan; dan
4. menghubungkait elemen pengusaaan ilmu, kemahiran dan kreativiti dengan status guru berkesan

Topik 7 Tutorial





TOPIK 7 PENILAIAN DAN PENTAKSIRAN



PENGENALAN

Tajuk ini akan memberi kefahaman tentang apa yang dimaksudkan dengan penilaian dan pentaksiran. Di dalam topik ini akan dapat menjelaskan jenis-jenis penilaian dan pentaksiran, alat-alat penilaian dan pentaksiran. Aktiviti penilaian yang dijalankan boleh mengukur sejauh mana hasil pembelajaran dapat dicapai dan dengan itu sebarang tindakanan penambahbaikan yang perlu bolehlah dirancang dan diatur seterusnya.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan maksud dan jenis-jenis penilaian;
2. menjelaskan alat-alat penilaian dan pentaksirannya;
3. menghasilkan pelbagai bentuk alat penilaian dan pentaksirannya; dan
4. membina jadual mengikut pelbagai skala.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Topik ini merangkumi tentang penyertian penilaian supaya dapat memberi gambaran keseluruhan tentang penilaian dan pentafsiran. Ia juga memuatkan tentang jenis-jenis penilaian dan alat-alat penilaian. Topik ini akan dapat membantu guru menjalankan beberapa kaedah penilaian di sekolah dan ini dapat memudahkan guru melaksanakan penilaian dengan lebih berkesan.

Topik 6 Tutorial

Pengajaran mikro adalah satu teknik pengajaran yang memakan masa tidak melebihi lima belas minit. Tujuannya memberi kemahiran mengajar secara berperingkat. Guru pelatih boleh memahirkan diri mereka untuk menjalankan aktiviti pengajaran saperti pengajaran set induksi, menjalankan aktiviti berkumpulan atau mencuba menerapkan pelbagai teknik-teknik pengajaran di dalam pengajaran mikro mereka. Pelbagai teori juga boleh diterapkan melalui pengajaran ini.

Pengajaran mikro bermaksud latihan pengajaran amali yang dipermudahkan dari aspek skop dan organisasinya. Istilah `mikro' bermaksud sesuatu yang kecil dan apabila dikaitkan dengan pengajaran ini bermaksud aspek utama iaitu saiz kelas, masa dan kemahiran mengajar dijadikan "kecil" dalam serba serbi.

Pengajaran makro pula adalah merupakan latihan mengajar sepenuhnya. Pengajaran makro dijalankan semasa membuat latihan mengajar (praktikum) disekolah. Sebelum pengajaran berlaku anda perlu membuat persediaan dengan lebih terperinci










Pengajaran mikro dapat membantu guru pelatih memperbaiki kelemahan-kelemahan di dalam bahagian-bahagian tertentu semasa pengajaran. Rakan-rakannya pula yang menyaksikan pengajaran tersebut secara langsung atau melalui rakaman boleh menjadikan panduan semasa giliran mereka mengajar. Hasil daripada komen pensyarah atau rakan-rakan sekelas akan membantu guru tersebut memperbaiki kelemahan yang dilakukannya. Komponen-komponen dalam pengajaran makro pula telah memberi panduan yang terperinci dalam menyediakan guru pelatih mengajar sebelum menjalani sistuasi sebenar semasa praktikum.

TOPIK 6 PENGAJARAN MIKRO DAN MAKRO

PENGENALAN

Bagi seorang guru pengajaran mikro dan makro biasa bagi mereka kerana mereka pernah mengalaminya semasa mengikuti kursus perguruan di universiti atau di maktab perguruan. Bagi bakal guru pula mereka akan mengalaminya sebelum mereka keluar membuat latihan mengajar. Melalui pengajaran mikro dan makro anda didedahkan dengan pengajaran seolah-olah di dalam bilik darjah dan anda akan mengetahui kelemahankelemahan dan kekuatan-kekuatan anda melalui komen yang dibuat oleh pensyarah atau pun rakan sekelas anda. Disamping itu anda berpeluang menonton hasil pengajaran anda melalui rakaman yang dibuat di bilik mikro untuk anda sendiri menilai pengajaran anda dan mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anda. Pengajaran mikro amat penting untuk mengesan kelemahan-kelemahan setiap bahagian pengajaran supaya dapat diperbaiki lebih awal.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan maksud pengajaran mikro dan makro;
2. menerapkan kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik pengajaran di dalam pengajaran mikro dan makro;
3. membuat pengajaran mikro dan makro; dan
4. membuat refleksi.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Topik ini menggambarkan tentang bentuk pengajaran yang sesuai dilaksanakan bagi melatih guru pelatih yang akan membuat latihan amali (praktikum) di sekolah. Ia juga dapat menjelaskan situasi sebenar pengajaran mikro dan akan membantu guru pelatih melaksanakan pengajaran makro di dalam bilik darjah. Jika diteliti ia akan banyak membantu memperbaiki kelemahan di dalam bahagian-bahagian tertentu semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Melalui pengajaran mikro, pensyarah, rakan dan pelatih tersebut boleh memberi komen tentang pengajaran tersebut dan seterusnya guru pelatih berkenaan boleh memperbaiki dan mengisi yang “lompang”.

Topik 5 Tutorial

5.1 JENIS DAN CONTOH BAHAN BANTUAN MENGAJAR

Cuba fikirkan sejenak soalan yang tertera di bawah ini. Adakah bahan bantuan mengajar penting kepada guru? Sempurnakah guru mengajar tanpa bahan bantuan mengajar?

Bahan bantuan mengajar terbahagi kepada tiga:

1. Bahan bercetak
2. Bahan teknologi pendidikan
3. Bahan berasaskan komputer

5.1.1 Bahan Bercetak

Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensaiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan atau pun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal dibidang masing-masing. Bahan ini akan diwarisi untuk dijadikan sumber rujukan bagi generasi hari ini dan dan datang. Di antara pusat sumber atau perpustakaan yang banyak menyimpan bahan bercetak ini ialah:

A. Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak yang diurus secara sistematik. Pusat sumber ini menyediakan maklumat perkhidmatan dan peluang bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan. Ini semua membantu ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat.

B. Perpustakaan Akademik

Perpustakaan akademik terdapat di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut-institut perguruan, politeknik, kolej matrikulasi, kolej-kolej awam dan swasta. Dasar kerajaan yang memberi perhatian utama kepada sektor pendidikan di institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan memberi peruntukan kewangan yang besar membolehkan perpustakaan akademik dianggap sebagai perpustakaan yang termaju di negara ini jika dibandingkan dengan perpustakaan-perpustakaan lain saperti perpustakaan awam, perpustakaan sekolah atau perpustakaan khusus dalam mengumpul dan menghasilkan bahan bercetak.

C. Perpustakaan Khas

Perpustakaan ini juga menyimpan bahan bercetak. Ia merupakan sebuah organisasi atau badan kerajaan yang menyediakan kemudahan perkhidmatan khusus kepada pengguna organisasi atau mempunyai koleksi khusus dalam bidang berkaitan dengan kepentingan organisasi induk. Perpustakaan khas ini juga dikenali sebagai Pusat Sumber, Pusat Maklumat atau Pusat Rujukan.

D. Perpustakaan Awam

Perpustakaan awam terdapat di seluruh negara dengan tujuan untuk memastikan semua masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang dan peringkat umur mendapat kemudahan bahan bercetak bagi kemudahan mereka membaca dan menggunakan peralatan moden yang lain seperti perkakasan dan perisian komputer, televisyen, radio, pemain kaset video dan sebagainya bagi menambahkan ilmu pengetahuan maklumat mutakhir. Bahan rujukan di perpustakaan awam tidak kira buku atau media elektronik moden sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa untuk memastikan pengguna mendapat perkhidmatan terbaik.

E. Perpustakaan Negara Malaysia

Perpustakaan Negara Malaysia berperanan penting sebagai tempat penyimpanan bahan bercetak yang merupakan khazanah ilmu dalam memupuk budaya membaca dikalangan masyarakat menjelang alaf baru. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Perpustakaan Negara Malaysia untuk menyelaras pembangunan prasarana perkhidmatan perpustakaan dan maklumat di seluruh negara bagi memastikan agar seluruh masyarakat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan maklumat yang berkesan.

Tanggungjawab ini termaktub dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 Bahagian II Seksyen 4(2)(h) iaitu: "menggalakkan dan memudahkan penubuhan sistem perpustakaan awam seluruh negara selaras dengan piawai-piawai kebangsaan bagi mengadakannya." Juga termaktub dalam peruntukan Bahagian II Seksyen 4(2)(I) iaitu: "menggalakkan penubuhan suatu rangkaian perpustakaan khusus selaras dengan piawai-piawai kebangsaan bagi mengadakannya". Apakah kelebihan dan kelemahan bahan bercetak di tempat yang tersebut di atas?

Kelebihannya: Murah, kekal, senang dirujuk, mudah alih, dan mudah akses.

Kelemahannya: Tebal, berat, tidak boleh disunting, tidak terkini kerana bahan cetak seperti buku mengambil masa untuk ditulis, disunting, dicetak dan diedar.

5.1.2 Bahan Teknologi Pendidikan

A. Alat Pandang Dengar (Audio-visual)

Bahan alat pandang dengar (audio-visual) terdiri daripada mikrofich, radio, television, dan video. Bahan ini boleh diperolehi di mana-mana. Kebanyakannya diperolehi secara individu di rumah. Sebahagian besar sekolah-sekolah memiliki bahan tersebut yang kebanyakannya disimpan di pusat-pusat sumber sekolah. Bahan ini mudah menyelenggarakannya dan mudah digunakan pada bila-bila masa. Apakah kelebihan dan kelemahan bahan ini?

Kelebihannya: Murah, menarik, penggunaan pelbagai pancaindera, mudah akses, boleh berulang tayang siaran, boleh digunakan di mana-mana dan bila-bila masa.

Kelemahannya pula: Tidak tahan lasak, susah menyuntingnya dan tidak terkini.

B. Papan Pengajaran

Papan unjuran adalah papan pengajaran yang digunakan secara langsung oleh guru untuk menyampaikan pengajaran kepada murid. Biasanya papan unjuran terdapat dalam setiap bilik darjah secara kekal atau mudah alih.

Terdapat beberapa jenis papan unjuran :

(a) Papan Tulis (b) Papan Putih (c) Papan Magnetik (d) Papan Flip (e) Papan Pameran / Papan Kenyataan (f) Papan Flanel (g) Papan Gulung (h) Papan Slip (i) Papan Elektronik

C. VISUAL

Visual ialah alat komunikasi yang dapat menyediakan rujukan konkrit yang lebih baik daripada lisan dan tulisan. Tujuannya untuk meningkatkan komunikasi di dalam pengajaran. Kekuatan bahan visual bergantung kepada kualiti penghasilannya. Bagi menghasilkannya perlu ada perancangan yang rapi dan panduan cara menggunakannya.

Konsep dan Fungsi Visual

Visual boleh didapati di dalam tiga bentuk iaitu fotografik, elektronik dan grafik. Fotografik dan video menyediakan ilustrasi melalui gambar, sejenis visual yang mewakili realiti dalam keadaan yang paling realistik, iaitu menyerupai sesuatu subjek atau situasi yang sebenar. Bahan grafik pula menyediakan ilustrasi secara artistik atau simbolik dan ia terdiri daripada dua kategori visual iaitu : ·

Visual analogik - menerangkan sesuatu konsep dengan menunjukkan sesuatu simbol yang dianggap dapat mewakili konsep tersebut.

Visual organisasi merangkumi carta aliran graf, peta, carta kategori dan sebagainya. Ketiga-tiga bentuk visual yang disebutkan boleh dilakukan secara sendirian atau dibuat secara kombinasi.

Fungsi visual amat penting dalam komunikasi dan visual tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

- mudah dan jelas dibaca dan di fahami
- mesej dapat di tafsir tanpa terlalu bersusah payah. Jika terlalu senang, pelajar mungkin tidak meneliti visual dengan terperinci. Mereka juga mudah merasa jemu. Jika terlalu sukar, pelajar akan rasa kecewa dan bosan.
- Mendorong interaksi yang aktif antara pelajar, guru dan bahan visual
- Membantu memfokuskan pelajar kepada bahan dalam visual.

Latihan 5.1 Kenapa bahan visual amat sesuai untuk pengajaran mata pelajaran Kajian Sosial ?

5.1.3 Bahan Berasaskan Komputer

Bahan ini meliputi disket, cakra padat, cakra laser dan sumber internet. Bahan ini merupakan teknologi terkini yang sepatutnya dikuasai oleh semua guru. Kementerian Pelajaran hari ini telah membekalkan semua sekolah dengan peralatan komputer supaya setiap pelajar dapat menguasainya. Guru-guru pula telah dilatih dengan secukupnya supaya dapat menggunakan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Komputer dapat memudahkan penyampaian guru dengan lebih menarik dan berkesan. Bahan bantuan menganjar pula mudah diperolehi melalui internet. Komputer boleh menyimpan maklumat-maklumat yang diperolehi dari berbagai sumber untuk digunakan bila-bila masa. Apakah kelebihan dan kelemahan bahan berasaskan komputer?

Kelebihannya: Amat fleksibel, mudah dikemaskinikan, penggunaan multi-media, jaringan tidak terhad, canggih dan mesra pengguna.

Kelemahannya: Mahal, menimbulkan tekanan, perisian terhad, bergantung kepada bekalan eletrik, perlu mahir mengoperasikan komputer.

5.2 PENYEDIAAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR

Penyediaan bahan bantuan mengajar merupakan tugas guru yang amat penting untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Tanpa bahan bantuan mengajar murid akan cepat jemu dan hilang minat untuk belajar. Murid mendengar dan guru bercakap tidak sesuai lagi hari ini kerana mengikut kajian pakar-pakar pendidikan, maklumat yang diperolehi melalui deria penglihatan adalah 75%, deria pendengaran 13%, deria sentuh 4%, deria rasa 4% dan deria bau 4%. Guru perlu mengajar supaya murid boleh menggunakan semua derianya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

5.2.1 Kriteria Pemilihan Bahan Bantuan Mengajar

(a) Perlulah selaras dengan dasar kerajaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
(b) Tidak bercanggah dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia dan diterima oleh semua kaum.
(c) Mestil relevan dengan kurikulum pendidikan kebangsaan
(d) Sesuai mengikut prisip pedagogi
(e) Memberi maklumat terkini
(f) Tidak terlalu mahal berbanding faedah yang diberi (cost effective)
(g) Mudah diperolehi
(h) Mudah digunakan
(i) Mudah alih dan disenggara
(j) Memberi pelbagai rangsangan dan mengguna pelbagai deria
(k) Boleh digunakan berulangkali dan di dalam situasi yang berlainan

5.2.2 Penyediaan Bahan Penyediaan bahan perlulah menggunakan kaedah tertentu dan sesuai supaya bahan yang dihasilkan dapat digunakan secara maksimum. Disamping itu ia boleh disimpan dengan selamat. Di dalam penyediaan bahan beberapa perkara yang perlu kita fikirkan:

(a) Bahan bercetak saperti carta, graf sukar dikemaskinikan dalam masa yang singkat dan penyediaannya mengambil masa yang lama sedangkan bahan berkomputer boleh dikemaskinikan pada bila-bila masa mengikut keperluan. Oleh itu di syorkan supaya guru lebeh banyak menggunakan bahan berkomputer.
(b) Kebanyakan bahan audio visual boleh didapatkan di dalam internet. Bahan-bahan ini boleh digunakan dan diintegrasikan dengan komputer.
(c) Oleh yang demikian penggunaan sumber pembelajaran berkomputer boleh meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran seorang guru.
(d) Bahan pengajaran berkomputer pula selalu terdedah kepada kerosakan cakera keras, cakera padat, disket atau diserang virus. Oleh itu bahan bercetak masih berguna dan maseh relevan pada masa kini. Dalam penyediaan bahan pula guru perlu menguasai kemahiran memilih bahan yang sesuai untuk digunakan dengan optimum supaya mencapai kesan terbaik di dalam pengajaran dan pembelajarannya. Selepas mengenalpasti bahan pembelajaran yang boleh digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru perlu membuat keputusan untuk memilih bahan yang paling berkesan untuk digunakan. Guru pula perlu mahir menggunakan bahan yang telah dikenalpasti itu dengan optimum untuk mencapai kesan terbaik.

5.2.3 Teknik Penyediaan Bahan

(a) Teknik cantuman / gabungan

Seseorang guru boleh mencantumkan bahan-bahan daripada pelbagai sumber untuk menghasilkan bahan pengajaran yang amat berkesan. Contohnya seorang guru boleh menggunakan authorware untuk mencantumkan bahan daripada sumber audio kaset, pita video, perisian multi-media dan bahan internet dalam word processor atau power point atau electronic presentation untuk menghasilkan bahan pengajaran yang menarik dan berkesan. Pernahkah anda menghasilkan bahan tersebut ?

(b) Teknik penggunaan serentak

Kemahiran menggunakan pelbagai bahan secara serentak dengan optimum juga perlu ditingkatkan di kalangan guru. Penggunaan bahan pelbagai sumber akan memberi kesan kepada semua pancaindera murid. Aktiviti hands-on serta interaksi dengan alat teknologi canggih akan mengoptimumkan proses pembelajaran. Contohnya, guru boleh mengemukakan pengajarannya dengan menggunakan bahan menarik daripada kaset audio, pita video, perisian multi-media dan menggunakan bahan cetak di dalam perbincangan dengan rakan sebaya. Pengajaran boleh ditambah lagi dengan menggunakan bahan daripada sumber internet untuk mendedahkan maklumat yang terkini. Pada akhir pengajarannya murid diperlukan membuat persembahan hasil pembelajaran melalui komputer dan disebarkan kepada rakan melalui classnet. Di samping itu murid boleh berbincang dan berinteraksi dengan menggunakan komputer masing-masing melalui classnet tadi.

(c) Melahirkan ciptaan baru

Guru perlu mengekspoitasikan semua sumber pembelajaran untuk mencipta bahan pengajaran dan pembelajaran yang canggih dari segi novelty, daya tarikan dan keberkesanannya. Guru perlu dahulu bersikap positif dan komited untuk sentiasa berusaha demi meningkatkan lagi mutu bahan yang diciptanya. Guru juga harus peka kepada respon pelajar terhadap penggunaan bahannya dan sentiasa memperbaikinya.

(d) Perkongsian melalui jaringan

Ciptaan guru haruslah dikongsi diantara guru dan antara sekolah dengan sekolah yang lain supaya ia boleh dinikmati bersama. Disarankan semua guru bermuafakat antara satu sama lain untuk berkongsi bahan melalui edunet. Dengan kepakaran masing-masing guru boleh menumpukan penghasilannya di dalam sesuatu bidang dan dikongsi bersama. Melalui internet seseorang guru boleh mengembangkan potensinya menghasilkan bahan pengajaran sehingga peringkat antarabangsa

(e) Penyelidikan dan pembangunan

Guru digalakkan membuat kajian tindakan di sekolah. Kajian sebegini dapat mengesan maklum balas murid terhadap bahan pengajaran yang digunakan. Hasil kajian mengenai keberkesanan bahan akan dapat disebarkan dan bagitu juga guru-guru lain boleh meneruskan kajian tersebut dan ia akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan bahan tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

5.2.4 Sumber-Sumber Bahan

a. Katalog

(i) Katalog ialah rekod kemaskini mengenai koleksi sesebuah pusat sumber dan juga merupakan wakil buku dan bukan buku dalam pusat sumber.
(ii) Katalog digunakan bertujuaan untuk memudahkan pembaca mencari bahan/maklumat.
(iii) Terdapat beberapa jenis katalog seperti berbentuk kad, buku visible indeks, mikrofis dan data buku dalam komputer (OPAC)
(iv) Terdapat tiga jenis kad katalog iaitu kad pengarang, kad judul dan kad perkara.
(v) Kad-kad tersebut disimpan atau disusun dalam laci-laci kabinet katalog yang biasanya diletakkan pada sudut atau ruang yang mudah dilihat.
(vi) Tiap-tiap laci dilabelkan dengan huruf dan perkataan yang menunjukan susunan kad-kad dan jenis indeks untuk memudahkan para pengguna membuat rujukan.

b. Kamus

(i) Buku yang mengandungi kata-kata yang disusun menurut abjad dengan keterangan tentang perkataan dinyatakan dalam bahasa yang sama atau dalam bahasa yang lain.
(ii) Bahan yang menerangkan tentang perkataan-perkataan, sebutan, ejaan, asas perkataan, penggunaan perkataan tersebut dalam ayat, imbuhan, makna seerti, terjemahan dan jenis perkataan. Contoh-contoh Kamus: Kamus Dwibahasa, Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Arab dan sebagainya.

c. Ensiklopedia

(i) Bahan yang mengandungi pelbagai maklumat dalam semua bidang ilmu pengetahuan.
(ii) Menjelaskan prinsip-prinsip umum yang asas serta penerangan ringkas mengenai definisi, gambaran, penjelasan, sejarah, kedudukan semasa, statistik dan bibliografi.
(iii) Bertujuaan untuk menjadi bahan rujukan: mengandungi artikel-artikel penyelidikan, bibliografi bidang-bidang tertentu, data-data ringkas seperti nama orang, tarikh lahir, tempat-tempat geografi dan peristiwa-peristiwa. Bibliografi di akhir setiap artikel adalah bertujuan untuk pembaca membuat rujukan lanjut.

Contoh-contoh Ensiklopedia: Ensiklopedia Britannica, The World Book Encyclopedia dan The Encyclopedia of Psychology.

d. Kamus Biografi

(i) Merupakan sketsa riwayat hidup yang disusun mengikut abjad menggunakan nama keluarga (surname). Maklumat yang diberi adalah keterangan ringkas mengenai tokoh-tokoh terkenal seperti kehidupannya, minat, pendidikan, latar belakang, kedudukan dan alamat yang dinyatakan secara gabungan.
(ii) Jenis-jenis kamus Biografi :

universal (tidak terbatas kepada negara atau profesion);
kebangsaan (meliputi negara tertentu bagi semua profesion);
profesional (terhad kepada tokoh-tokoh di dalam bidang tertentu sama ada universal atau kebangsaan)

e. Almanak / Buku Tahunan

(i) Almanak adalah satu komponen data-data dan statistik penting mengenai negara, tokoh-tokoh, peristiwa dan sebagainya. Diterbitkan tiap-tiap tahun atau dua tahun sekali.
(ii) Almanak lebih umum dan Buku Tahunan lebih khusus (mengendalikan perkara-perkara tertentu sahaja).
(iii) Tujuan Buku Tahunan ialah untuk merekodkan aktiviti tahunan bagi negara atau bidang-bidang tertentu, untuk menunjukan aliran (trend) perkembangan tamadun sebagai kunci kepada maklumat tambahan kerana memberikan punca maklumat.
(iv) Terdapat Buku Tahunan Khusus yang mencatitkan nama tokoh tokoh utama dalam sesuatu bidang dengan alamat dan sejarah hidup ringkas. Contoh-contoh Almanak / Buku Tahunan: Reader's Digest Almanac and Yearbook, World Almanac and Book of Facts, Malaysia Yearbook.

f. Direktori

(i) Suatu senarai mengenai orang atau organisasi yang disusun secara sistematik mengikut susunan abjad atau nombor pengkelasan
(ii) mengandungi alamat afiliasi (afiliation) untuk individu. Ia juga mengandungi alamat, fungsi, staf dan lain-lain data mengenai organisasi. Contoh-contoh Direktori: The Foundation Directory, American Universities and Collages, Direktori Telefon, Directory of Special Libraries and Information Centres.

g. Gazetir

(i) Sejenis kamus mengenai tempat-tempat. Memberikan maklumat maklumat tentang sejarah, statistik, kebudayaan dan lain-lain yang berkenaan mengenai tempat-tempat.
(ii) Edisi baru memberikan maklumat semasa dan edisi lama memberikan maklumat sejarah mengenai tempat-tempat itu. Biasanya terdapat di dalam atlas dan ada juga dibuat berasingan. Merupakan indeks tidak lansung untuk mengesan maklumat mengenai tempat-tempat.

Contoh Gazetir: Colombia-Lippincott Gazzetter of the World.

h. Bibliografi

(i) Nama yang diberikan untuk suatu senarai buku-buku, manuskrip dan lain-lain penerbitan, dan diterang dan disusun secara sistematik.
(ii) Bibliografi terdiri daripada beberapa jenis.

Bibliografi Umum tidak terhad kepada seorang pengarang, perkara, negara atau jangka masa. Bibliografi Pengarang adalah senarai karya-karya yang dihasilkan oleh seorang pengarang. Bibliografi Perkara pula terhad kepada satu perkara sahaja.
Bibliografi Kebangsaan atau Wilayah pula mengandungi bahan berkaitan dengan sesebuah negara atau wilayah.
Bibliografi Perdagangan tertumpu kepada perniagaan buku dan membekalkan maklumat untuk membeli dan menjual buku.

i. Indeks

(i) Tidak memberikan maklumat tetapi menunjukan dimanakah maklumat itu boleh didapati. Contoh indeks buku menunjukan muka surat yang mengandungi maklumat yang dicari.
(ii) Indeks untuk bahan berkala:
Indeks am: meliputi banyak jenis bahan berkala (umum atau khusus)
Indeks perkara: mengandungi bahan bukan sahaja dari bahan berkala tetapi juga buku, risalah, laporan dan lain-lain dokumen.
(iii) Indeks surat khabar.
(vi) Indeks Serials
(v) Indeks bahan dalam koleksi sajak, drama, fiksyen, lagu-lagu dan lain-lain.
(vi) Indeks online: CD ROM

j. Buku Laporan Tahunan

(i) Buku Laporan Tahunan merupakan rujukan yang berguna dan mudah tentang negara dan industri.
(ii) Memuatkan maklumat-maklumat pentadbiran, pengurusan, peristiwa,aktiviti-aktiviti yang sebagainya tentang sesebuah negara, pertubuhan dan industri yang dijalankan sepanjang tahun itu. Segala maklumat maklumat mutakhir dibuatkan secara jelas dan tepat untuk memudahkan pembaca memanfaatkannya.
(iii) Buku ini biasanya diterbitkan oleh dewan perniagaan, jabatan kerajaan atau syarikat perniagaan. Maklumat yang terkandung di dalam Buku Laporan Tahunan termasuklah: Information Malaysia Year Book dan Buku Rasmi tahunan MalaysiaBuku Tahunan Perangkaan Malaysia.

k. Peta / Atlas

(i) Peta adalah gambaran alam yang sebenar tetapi telah dikecilkan dalam bentuk yang mudah dikaji melalui penggunaan grafik.
(ii) Atlas pula ialah kumpulan peta yang telah dijilid dalam bentuk buku. Peta merupakan sumber maklumat terperinci yang menggunakan simbol-simbol dan gambaran grafik untuk menerangkan sesuatu idea, kedudukan bandar,sungai, jenis-jenis tumbuhan, taburan penduduk dan sebagainya.
(iii) Peta boleh didapati dalam enskopedia, laporan, buku panduan dan sebagainya.

RUMUSAN

Bahan bantuan mengajar merupakan sumber penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa bahan bantuan mengajar mungkin objektif pengajaran kurang tercapai. Oleh sebab itu penggunaan bahan bantuan mengajar adalah amat digalakkan penggunaannya. Bahan bantuan mengajar tidak akan berkesan tanpa penyediaan yang baik dan berinovatif dan berinteraktif. Banyak kriteria pemilihan bahan bantuan mengajar perlu ada supaya ia lebih berkesan dan menarik. Bahan bantuan mengajar yang baik perlu disediakan oleh guru supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik dan berkesan serta mencapai objektifnya.

GLOSARI

Alat Pandang Dengar ­ Alat yang dipakai menggunakan deria melihat dan mendengar
Bahan Bercetak ­ Melibatkan semua jenis bahan yang dihasilkan melaluipercetakan.

UJIAN 1
1. Bahan berasaskan komputer ini menjadi satu masalah kepada pelajar luar bandar; Jelaskan.

UJIAN 2

1. Senaraikan 5 kriteria pemilihan Bahan Bantuan Mengajar?

TOPIK 5 PENYEDIAAN DAN PENGGUNAAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR

PENGENALAN

Tajuk ini memfokuskan kepada penyediaan bahan bantuan mengajar dan seterusnya penggunaannya di dalam bilik darjah. Seseorang guru boleh menyediakan bahan tersebut dengan menggunakan peralatan yang terdapat di sekolah atau di persekitarannya atau melalui sumber internet. Bahan tersebut perlu menarik dan memudahkan guru untuk mengajar. Penggunaannya pula boleh dikongsi bersama-sama guru lain. Bahan ini akan menjadi sebahagian daripada bahan sumber di sekolah tersebut dan disimpan di pusat sumber.

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan bahan sumber mengajar yang terdapat di persekitaran;
2. memperoleh bahan sumber melalui berbagai cara yang mudah dan berkesan;
3. menyediakan bahan bantuan mengajar dengan menggunakan pelbagai teknik; dan
4. menggunakan bahan tersebut untuk mengajar di dalam bilik darjah.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Topik ini menjelaskan tentang bahan bantuan mengajar. Bahan bantuan mengajar merupakan satu sumber yang amat penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ada banyak cara menghasilkan bahan bantuan mengajar yang baik dan menarik dan sesuai digunakan di dalam bilik darjah. Guru perlu kreatif menghasilkan bahan tersebut dengan berbagai cara yang dinyatakan di dalam topik ini. Topik ini juga menjelaskan tentang penggunaan bahan tersebut supaya guru-guru dapat mencuba untuk menghasilkan bahan tersebut.

Topik 4 Tutorial

Rancangan Tahunan Kajian Tempatan merupakan jadual pembahagian tema, topik dan skop kajian dan hasil pembelajaran serta unsur patriotisme mengikut minggu persekolahan dalam tempoh setahun. Rancangan sebegini akan memudahkan kerja anda dan membantu anda untuk menyemak perkembangan pembelajaran murid mengikut kandungan dan hasil pembelajaran yang dinginkan sepanjang tahun.

Rancangan Semester

Untuk membuat rancangan semester anda haruslah berpandukan kepada rancangan
tahunan yang telah dibuat terlebih dahulu sebentar tadi. Ini diibaratkan jika anda ingin
membuat sepasang pakaian jenis seluar dan blaus, anda membeli empat meter kain ela
dan perlu memotongnya kepada dua helai khas untuk bahagian seluar dan bahagian
blaus. Kemudian barulah mudah untuk anda memotong setiap bahagian itu mengikut ukuran badan anda dan fesyen yang digemari.

Ini bermakna setelah anda mempunyai Rancangan Tahunan untuk setiap mata pelajaran dengan mudah anda memindahkan kepada perancangan dua semester persekolahan seperti yang lazim. Rancangan ini lebih terperinci dan menjurus kepada apa yang akan diajar pada setiap semester.




Rancangan Mingguan

Anda perlu merujuk rancangan tahunan dan rancangan semester bagi menyediakan rancangan mingguan.Rancangan mingguan diperlukan untuk memudahkan anda menyediakan rancangan harian. Rancangan mingguan dipetik daripada rancangan tahunan mengikut minggu anda mengajar. Ini digolongkan sebagai satu perancangan merangkumi semua mata pelajaran yang anda ajar untuk minggu berkenaan. Kandungannya adalah seperti tarikh, hari, mata pelajaran, kelas, tema, topik, subtopik dan hasil pembelajaran bagi setiap mata pelajaran dalam senarai tersebut

Rancangan Harian

Rancangan harian merupakan jadual rancangan pengajaran untuk semua mata pelajaran yang anda akan ajar dalam sesuatu hari pengajaran. Ia merangkumi mata pelajaran, kelas, masa, tema/topik, subtopik, tajuk, aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Rancangan pengajaran harian hendaklah berdasarkan rancangan mingguan.












TOPIK 4 PERANCANGAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

PENGENALAN

Dalam tajuk ini anda akan melihat perancangan yang membantu anda melaksanakan pengajaran dan pembelajaran subjek Kajian Sosial dengan lebih tersusun dan berkesan. Pendekatan-pendekatan dan beberapa teknik juga diberi dalam topik ini supaya pengetahuan anda lebih mantap dan kemahiran anda lebih baik untuk diaplikasikan dalam pengajaran anda

OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. menjelaskan kepentingan perancangan dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Kajian Sosial;
2. menghuraikan proses-proses dalam pengajaran;
3. menyediakan persediaan mengajar mengikut keperluan pembestarian; dan
4. menyusun langkah-langkah dan aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berteraskan aktivti.

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Dalam pendidikan, pengajaran amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan supaya pembelajaran berlangsung dengan jayanya. Kejayaan dimaksudkan di sini adalah segala aspek pengajaran dan pembelajaran mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Untuk mencapai tahap keberkesanan ini, penting sekali seorang guru yang terlibat dalam pengajaran membuat perancangan rapi dan tersusun. Oleh itu topik ini memandu guru untuk membuat rancangan tahunan, semester dan mingguan. Untuk pengajaran harian pula pendedahan diberi dengan lebih terperinci berdasarkan format Rancangan Pengajaran Harian yang berunsurkan pembelajaran bestari. Aktiviti yang berlandaskan pembelajaran koperatif juga didedahkan untuk memberi panduan kepada guru merancang aktiviti pembelajaran yang seronok (fun in learning). Dengan itu akan dapatlah menarik tumpuan murid dalam pembelajaran secara optimum.

Topik 3 Tutorial

Maksud Pendekatan, Kaedah, Strategi dan Teknik

i. Pendekatan

Pendekatan dalam pendidikan berkait dengan cara sesuatu pelajaran disampaikan melalui proses pengajaran pembelajaran untuk mencapai hasil pembelajarannya dalam masa jangka panjang. Dalam memilih pendekatan kita akan memilih satu atau lebih model, prinsip dan teori pembelajaran supaya pembelajaran berlangsung dan ini memungkinkan kefahaman, penghayatan dan perubahan tingkah laku berlaku. Ini bermaksud untuk mencapai hasil pembelajaran jangka panjang, pelbagai strategi yang mengandungi kaedah, teknik dan aktiviti akan digunakan

ii. Strategi

Strategi merujuk kepada perancangan tindakan yang menjurus kepada pencapaian objektif yang telah ditetapkan. Rancangan tindakan ini merangkumi kaedah dan teknik mengajar .

Dengan adanya perancangan strategi, kaedah dan teknik dapat diatur secara sistematik, pengagihan masa disusun, penyediaan bahan dibuat mengikut kesesuaian dan kawalan kelas diuruskan dengan rapi.

Strategi pengajaran pembelajaran haruslah berasaskan kepada tiga unsur utama iaitu guru, murid dan bahan pengajaran pembelajaran. Sebab itulah strategi dalam pendidikan dirujuk sebagai pemusatan guru, pemusatan murid dan pemusatan bahan.

iii. Kaedah

Kaedah pula lebih menekankan penyusunan langkah untuk mengajar secara sistematik berlandaskan prinsip dan teori pembelajaran. Langkah-langkah pengajaran disusun rapi dan kesinambunganya diikuti dengan teliti supaya ada urutan terarah untuk menimbulkan proses pembelajaran.

iv. Teknik

Teknik merupakan aktiviti - aktiviti yang diatur dalam kaedah dan strategi pengajaran pembelajaran. Ini dirancang dalam bentuk pelakuan dan kemahiran yang ingin diperolehi oleh murid. Kemahiran guru dalam mengelola aktiviti akan menjadikan kelas aktif dan pembelajaran memberangsangkan.