Thursday, November 1, 2007

TOPIK 1 STRUKTUR KURIKULUM KAJIAN SOSIAL

PENGENALAN

Anda biasa dengan struktur Kurikulum Baru Sekolah Rendah? Kalau biasa, apa pula mata pelajaran yang terkandung dalam disiplin Kajian Sosial dalam sistem persekolahan rendah di negara kita? Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan dua mata pelajaran yang tertakluk di bawah disiplin Kajian Sosial. Kedua-dua mata pelajaran ini diajar di sekolah rendah pada Tahap 2. Pengajaran kedua-dua mata pelajaran ini amat penting diketahui dan kuasai oleh guru-guru supaya pembelajaran menyeronokkan, merangsang dan aktif di samping membantu mencapai hasrat yang diinginkan dalam matlamat mata-mata pelajaran tersebut. Tajuk ini memberi pendedahan tentang matlamat, latar belakang, objektif, organisasi huraian dan isi kandungan Kajian Tempatan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (Semakan) (KBSR yang telah disemak semula buat kali kedua sejak tahun 2004), dan mata pelajaran baru iaitu Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Huraian Sukatan kedua-dua mata pelajaran ini diberi penjelasan untuk membantu guru supaya lebih bersedia dari segi kandungan sukatan dengan lebih mendalam. Dalam tajuk ini juga diberi penerangan tentang pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan termasuk penggunaan media elektronik yang boleh membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
OBJEKTIF

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menjelaskan latar belakang, matlamat dan objektif Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR);
2. menjelaskan dan menghuraikan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 4, 5 dan 6 Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR) dengan menggunakan pengurusan grafik;
3. menyusun ruang liput isi kandungan mata pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan (KBSR);
4. mengklasifikasikan sumber-sumber yang berkaitan dengan pengajaran pembelajaran tajuk-tajuk dan isi kandungan Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan Tahun 4, 5 dan 6 serta Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan 6 (KBSR); dan
5. memilih bahan sumber yang sesuai supaya pengajaran menjadi lebih berkesan dan menarik

GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK

Topik 1 ini bermula dengan pengenalan dan perspektif disiplin sains sosial dan mata pelajaran yang berkaitan dalam sistem persekolahan sekolah rendah negara. Latar belakang disiplin ini dihuraikan supaya guru-guru yang mengajar berada dalam keadaan yang jelas dan tidak tertanya-tanya akan bentuk bidang ini yang merentas pelbagai disiplin. Seterusnya anda akan dibawa untuk membincang skop dan pemetaan sukatan pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (KBSR) supaya anda dapat kefahaman yang jelas dan padu sebelum boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik di sekolah. Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan dan bermakna, sumber pengajaran dan pembelajaran harus diketahui oleh anda sebagai guru. Mengapa dikatakan demikian? Ini adalah kerana sumber pengajaran dan pembelajaran merupakan katalist kepada kelancaran proses pencapaian hasil pembelajaran. Jenis-jenis sumber dari pelbagai bentuk harus diketahui supaya anda lebih yakin untuk menyampai pengajaran dan pembelajaran kepada murid anda.

1.1 SUKATAN PELAJARAN

1.1.1 Latar Belakang dan Pengenalan

Kursus Kajian Sosial dalam kurikulum Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan Kepujian digubal untuk menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran pengajaran mata pelajaran disiplin Kajian Sosial di sekolah rendah. Sukatan pelajaran dalam kursus Kajian Sosial ini merangkumi bidang sains kemanusiaan dan sains kemasyarakatan iaitu pengintegrasian disiplin sosiologi, sejarah, ekonomi, geografi dan sains politik. Pengintergrasian disiplin-displin ini dibuat untuk mengkaji dan melihat pola interksi manusia dalam pelbagai budaya. Hal ini dilaksanakan agar pengajian secara menyeluruh tentang budaya kehidupan manusia sejagat amnya dan masyarakat Malaysia khususnya dapat dibuat. Sukatan pelajaran ini dirangka sebegitu rupa supaya dapat menyediakan guru-guru berpengetahuan luas dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan serta berketrampilan sesuai dengan kehendak pendidikan terkini. Kandungan sukatan dalam kursus ini menumpukan kepada penyediaan guru untuk mengajar mata pelajaran Kajian Tempatan dan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dalam sistem sekolah rendah di negara ini. Semua tajuk dalam modul kursus menjurus kepada matlamat ini. Anda sebagai guru yang akan melibatkan diri dengan pengajaran bidang kajian sosial haruslah mempunyai ilmu yang jauh lebih mendalam dari apa yang terdapat dalam kandungan kedua-dua mata pelajaran tersebut. Selaras dengan senario ini, perlulah dijelaskan dalam Modul 1 ini, latar belakang kedua-dua mata pelajaran tersebut satu persatu. Kita mulakan dengan Kajian Tempatan terlebih dahulu.

Sebahagian daripada anda mungkin pernah mengajar subjek Kajian Tempatan (KT) dan sebahagian yang lain sekurang-kurangnya tahu bahawa mata pelajaran ini telah diajarkan di sekolah rendah. Cuba imbas kembali, bilakah KT mula diperkenalkan dalam sistem persekolahan di negara kita? Pada pandangan anda,apakah matlamat subjek ini diperkenalkan?
Pernahkah anda diperkenalkan kepada Model Konseptual Pendidikan Guru?

a. Kajian Tempatan

Kajian Tempatan mula diperkenalkan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1994 dan diajar di sekolah rendah mulai Tahap 2 iaitu pada Tahun 4, 5 dan 6 persekolahan. Ini bermakna, lingkungan umur murid yang mengikuti mata pelajaran tersebut adalah di antara 10 tahun hingga 12 tahun. Mengapakah pada peringkat umur sebegini murid-murid telah didedahkan dengan perkara-perkara yang berkait dengan bidang sosiologi, sejarah, ekonomi, geografi dan sains politik? Bukankah mereka terlalu muda untuk dibebani dengan perkara-perkara sedemikian? Sekiranya anda mempunyai pandangan tentang persoalan ini, ambil pen dan kertas dan catatkan pandangan anda itu. Anda seharusnya tahu bahawa setiap pandangan yang anda berikan adalah hak anda.

Namun, sekiranya anda tidak ada idea tentang perkara yang dibincangkan, jangan risau buat masa ini. Mungkin anda letih. Rehat sebentar, bancuh secawan kopi dan hirup kopi tersebut. Sudah segar kembali? Sambung tugas anda dengan melayari internet untuk mencari bahan-bahan yang berkaitan.

Menurut Piaget (1969), murid dalam lingkungan umur 10 hingga 12 telah mencapai tahap untuk memahami konsep positif dan negatif. Merujuk kajian awal Piaget (1937), kanak-kanak dalam lingkungan umur ini mengalami proses kognitif yang membantu mereka memahami sesuatu konsep. Bahan maujud yang mereka lihat dan kenal boleh membantu mereka membentuk konsep tentang sesutu perkara atau benda. Sebagai contoh, murid boleh mengenali pokok, bakul, rumah atau jambatan apabila mereka melihat rupa, bentuk, warna, saiz atau kegunaannya pada mereka. Oleh kerana organisasi kandungan dan bidang pembelajaran Kajian Tempatan merangkumi bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan (iaitu berkaitan dengan manusia dan masyarakat), murid di Tahun 4, 5 dan 6 diandaikan dapat memahami dan menghayati aspek ini apabila mereka didedahkan kepada konsep Rumah Sebagai keperluan Asas (Tema 1) hingga ke konsep yang lebih luas iaitu Kejayaan dan Kebanggaan Negara (Tema 6).

Merujuk teori yang dikemukakan oleh Piaget di atas, cuba fikirkan apakah matlamat subjek Kajian Tempatan. Catatkan apa yang telah anda fikir itu di dalam buku catatan anda. Maklumlah, sebagai manusia kadang kala kita terlupa apa yang telah kita dapat hari ini apabila ditanya hari esoknya.

1.1.2 Matlamat

Sekarang kita lihat pula matlamat KajianTempatan sebagai satu mata pelajaran di sekolah.

No comments: