Friday, November 2, 2007

Topik 5 Tutorial

5.1 JENIS DAN CONTOH BAHAN BANTUAN MENGAJAR

Cuba fikirkan sejenak soalan yang tertera di bawah ini. Adakah bahan bantuan mengajar penting kepada guru? Sempurnakah guru mengajar tanpa bahan bantuan mengajar?

Bahan bantuan mengajar terbahagi kepada tiga:

1. Bahan bercetak
2. Bahan teknologi pendidikan
3. Bahan berasaskan komputer

5.1.1 Bahan Bercetak

Bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensaiklopedia, surat khabar, kad katalog, kamus, buku teks dan sebagainya yang dihasilkan secara bercetak. Bahan bercetak seperti ini banyak disimpan di pusat sumber atau di perpustakaan atau pun di arkib. Semuanya dihasilkan oleh penulis-penulis atau pereka-pereka yang mahir dan terkenal dibidang masing-masing. Bahan ini akan diwarisi untuk dijadikan sumber rujukan bagi generasi hari ini dan dan datang. Di antara pusat sumber atau perpustakaan yang banyak menyimpan bahan bercetak ini ialah:

A. Pusat Sumber Sekolah

Pusat sumber sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak yang diurus secara sistematik. Pusat sumber ini menyediakan maklumat perkhidmatan dan peluang bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran untuk penguasaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan. Ini semua membantu ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat.

B. Perpustakaan Akademik

Perpustakaan akademik terdapat di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut-institut perguruan, politeknik, kolej matrikulasi, kolej-kolej awam dan swasta. Dasar kerajaan yang memberi perhatian utama kepada sektor pendidikan di institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan memberi peruntukan kewangan yang besar membolehkan perpustakaan akademik dianggap sebagai perpustakaan yang termaju di negara ini jika dibandingkan dengan perpustakaan-perpustakaan lain saperti perpustakaan awam, perpustakaan sekolah atau perpustakaan khusus dalam mengumpul dan menghasilkan bahan bercetak.

C. Perpustakaan Khas

Perpustakaan ini juga menyimpan bahan bercetak. Ia merupakan sebuah organisasi atau badan kerajaan yang menyediakan kemudahan perkhidmatan khusus kepada pengguna organisasi atau mempunyai koleksi khusus dalam bidang berkaitan dengan kepentingan organisasi induk. Perpustakaan khas ini juga dikenali sebagai Pusat Sumber, Pusat Maklumat atau Pusat Rujukan.

D. Perpustakaan Awam

Perpustakaan awam terdapat di seluruh negara dengan tujuan untuk memastikan semua masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang dan peringkat umur mendapat kemudahan bahan bercetak bagi kemudahan mereka membaca dan menggunakan peralatan moden yang lain seperti perkakasan dan perisian komputer, televisyen, radio, pemain kaset video dan sebagainya bagi menambahkan ilmu pengetahuan maklumat mutakhir. Bahan rujukan di perpustakaan awam tidak kira buku atau media elektronik moden sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa untuk memastikan pengguna mendapat perkhidmatan terbaik.

E. Perpustakaan Negara Malaysia

Perpustakaan Negara Malaysia berperanan penting sebagai tempat penyimpanan bahan bercetak yang merupakan khazanah ilmu dalam memupuk budaya membaca dikalangan masyarakat menjelang alaf baru. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Perpustakaan Negara Malaysia untuk menyelaras pembangunan prasarana perkhidmatan perpustakaan dan maklumat di seluruh negara bagi memastikan agar seluruh masyarakat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan maklumat yang berkesan.

Tanggungjawab ini termaktub dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 Bahagian II Seksyen 4(2)(h) iaitu: "menggalakkan dan memudahkan penubuhan sistem perpustakaan awam seluruh negara selaras dengan piawai-piawai kebangsaan bagi mengadakannya." Juga termaktub dalam peruntukan Bahagian II Seksyen 4(2)(I) iaitu: "menggalakkan penubuhan suatu rangkaian perpustakaan khusus selaras dengan piawai-piawai kebangsaan bagi mengadakannya". Apakah kelebihan dan kelemahan bahan bercetak di tempat yang tersebut di atas?

Kelebihannya: Murah, kekal, senang dirujuk, mudah alih, dan mudah akses.

Kelemahannya: Tebal, berat, tidak boleh disunting, tidak terkini kerana bahan cetak seperti buku mengambil masa untuk ditulis, disunting, dicetak dan diedar.

5.1.2 Bahan Teknologi Pendidikan

A. Alat Pandang Dengar (Audio-visual)

Bahan alat pandang dengar (audio-visual) terdiri daripada mikrofich, radio, television, dan video. Bahan ini boleh diperolehi di mana-mana. Kebanyakannya diperolehi secara individu di rumah. Sebahagian besar sekolah-sekolah memiliki bahan tersebut yang kebanyakannya disimpan di pusat-pusat sumber sekolah. Bahan ini mudah menyelenggarakannya dan mudah digunakan pada bila-bila masa. Apakah kelebihan dan kelemahan bahan ini?

Kelebihannya: Murah, menarik, penggunaan pelbagai pancaindera, mudah akses, boleh berulang tayang siaran, boleh digunakan di mana-mana dan bila-bila masa.

Kelemahannya pula: Tidak tahan lasak, susah menyuntingnya dan tidak terkini.

B. Papan Pengajaran

Papan unjuran adalah papan pengajaran yang digunakan secara langsung oleh guru untuk menyampaikan pengajaran kepada murid. Biasanya papan unjuran terdapat dalam setiap bilik darjah secara kekal atau mudah alih.

Terdapat beberapa jenis papan unjuran :

(a) Papan Tulis (b) Papan Putih (c) Papan Magnetik (d) Papan Flip (e) Papan Pameran / Papan Kenyataan (f) Papan Flanel (g) Papan Gulung (h) Papan Slip (i) Papan Elektronik

C. VISUAL

Visual ialah alat komunikasi yang dapat menyediakan rujukan konkrit yang lebih baik daripada lisan dan tulisan. Tujuannya untuk meningkatkan komunikasi di dalam pengajaran. Kekuatan bahan visual bergantung kepada kualiti penghasilannya. Bagi menghasilkannya perlu ada perancangan yang rapi dan panduan cara menggunakannya.

Konsep dan Fungsi Visual

Visual boleh didapati di dalam tiga bentuk iaitu fotografik, elektronik dan grafik. Fotografik dan video menyediakan ilustrasi melalui gambar, sejenis visual yang mewakili realiti dalam keadaan yang paling realistik, iaitu menyerupai sesuatu subjek atau situasi yang sebenar. Bahan grafik pula menyediakan ilustrasi secara artistik atau simbolik dan ia terdiri daripada dua kategori visual iaitu : ·

Visual analogik - menerangkan sesuatu konsep dengan menunjukkan sesuatu simbol yang dianggap dapat mewakili konsep tersebut.

Visual organisasi merangkumi carta aliran graf, peta, carta kategori dan sebagainya. Ketiga-tiga bentuk visual yang disebutkan boleh dilakukan secara sendirian atau dibuat secara kombinasi.

Fungsi visual amat penting dalam komunikasi dan visual tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri berikut:

- mudah dan jelas dibaca dan di fahami
- mesej dapat di tafsir tanpa terlalu bersusah payah. Jika terlalu senang, pelajar mungkin tidak meneliti visual dengan terperinci. Mereka juga mudah merasa jemu. Jika terlalu sukar, pelajar akan rasa kecewa dan bosan.
- Mendorong interaksi yang aktif antara pelajar, guru dan bahan visual
- Membantu memfokuskan pelajar kepada bahan dalam visual.

Latihan 5.1 Kenapa bahan visual amat sesuai untuk pengajaran mata pelajaran Kajian Sosial ?

5.1.3 Bahan Berasaskan Komputer

Bahan ini meliputi disket, cakra padat, cakra laser dan sumber internet. Bahan ini merupakan teknologi terkini yang sepatutnya dikuasai oleh semua guru. Kementerian Pelajaran hari ini telah membekalkan semua sekolah dengan peralatan komputer supaya setiap pelajar dapat menguasainya. Guru-guru pula telah dilatih dengan secukupnya supaya dapat menggunakan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Komputer dapat memudahkan penyampaian guru dengan lebih menarik dan berkesan. Bahan bantuan menganjar pula mudah diperolehi melalui internet. Komputer boleh menyimpan maklumat-maklumat yang diperolehi dari berbagai sumber untuk digunakan bila-bila masa. Apakah kelebihan dan kelemahan bahan berasaskan komputer?

Kelebihannya: Amat fleksibel, mudah dikemaskinikan, penggunaan multi-media, jaringan tidak terhad, canggih dan mesra pengguna.

Kelemahannya: Mahal, menimbulkan tekanan, perisian terhad, bergantung kepada bekalan eletrik, perlu mahir mengoperasikan komputer.

5.2 PENYEDIAAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR

Penyediaan bahan bantuan mengajar merupakan tugas guru yang amat penting untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Tanpa bahan bantuan mengajar murid akan cepat jemu dan hilang minat untuk belajar. Murid mendengar dan guru bercakap tidak sesuai lagi hari ini kerana mengikut kajian pakar-pakar pendidikan, maklumat yang diperolehi melalui deria penglihatan adalah 75%, deria pendengaran 13%, deria sentuh 4%, deria rasa 4% dan deria bau 4%. Guru perlu mengajar supaya murid boleh menggunakan semua derianya di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

5.2.1 Kriteria Pemilihan Bahan Bantuan Mengajar

(a) Perlulah selaras dengan dasar kerajaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
(b) Tidak bercanggah dengan nilai dan budaya masyarakat Malaysia dan diterima oleh semua kaum.
(c) Mestil relevan dengan kurikulum pendidikan kebangsaan
(d) Sesuai mengikut prisip pedagogi
(e) Memberi maklumat terkini
(f) Tidak terlalu mahal berbanding faedah yang diberi (cost effective)
(g) Mudah diperolehi
(h) Mudah digunakan
(i) Mudah alih dan disenggara
(j) Memberi pelbagai rangsangan dan mengguna pelbagai deria
(k) Boleh digunakan berulangkali dan di dalam situasi yang berlainan

5.2.2 Penyediaan Bahan Penyediaan bahan perlulah menggunakan kaedah tertentu dan sesuai supaya bahan yang dihasilkan dapat digunakan secara maksimum. Disamping itu ia boleh disimpan dengan selamat. Di dalam penyediaan bahan beberapa perkara yang perlu kita fikirkan:

(a) Bahan bercetak saperti carta, graf sukar dikemaskinikan dalam masa yang singkat dan penyediaannya mengambil masa yang lama sedangkan bahan berkomputer boleh dikemaskinikan pada bila-bila masa mengikut keperluan. Oleh itu di syorkan supaya guru lebeh banyak menggunakan bahan berkomputer.
(b) Kebanyakan bahan audio visual boleh didapatkan di dalam internet. Bahan-bahan ini boleh digunakan dan diintegrasikan dengan komputer.
(c) Oleh yang demikian penggunaan sumber pembelajaran berkomputer boleh meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran seorang guru.
(d) Bahan pengajaran berkomputer pula selalu terdedah kepada kerosakan cakera keras, cakera padat, disket atau diserang virus. Oleh itu bahan bercetak masih berguna dan maseh relevan pada masa kini. Dalam penyediaan bahan pula guru perlu menguasai kemahiran memilih bahan yang sesuai untuk digunakan dengan optimum supaya mencapai kesan terbaik di dalam pengajaran dan pembelajarannya. Selepas mengenalpasti bahan pembelajaran yang boleh digunakan di dalam pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru perlu membuat keputusan untuk memilih bahan yang paling berkesan untuk digunakan. Guru pula perlu mahir menggunakan bahan yang telah dikenalpasti itu dengan optimum untuk mencapai kesan terbaik.

5.2.3 Teknik Penyediaan Bahan

(a) Teknik cantuman / gabungan

Seseorang guru boleh mencantumkan bahan-bahan daripada pelbagai sumber untuk menghasilkan bahan pengajaran yang amat berkesan. Contohnya seorang guru boleh menggunakan authorware untuk mencantumkan bahan daripada sumber audio kaset, pita video, perisian multi-media dan bahan internet dalam word processor atau power point atau electronic presentation untuk menghasilkan bahan pengajaran yang menarik dan berkesan. Pernahkah anda menghasilkan bahan tersebut ?

(b) Teknik penggunaan serentak

Kemahiran menggunakan pelbagai bahan secara serentak dengan optimum juga perlu ditingkatkan di kalangan guru. Penggunaan bahan pelbagai sumber akan memberi kesan kepada semua pancaindera murid. Aktiviti hands-on serta interaksi dengan alat teknologi canggih akan mengoptimumkan proses pembelajaran. Contohnya, guru boleh mengemukakan pengajarannya dengan menggunakan bahan menarik daripada kaset audio, pita video, perisian multi-media dan menggunakan bahan cetak di dalam perbincangan dengan rakan sebaya. Pengajaran boleh ditambah lagi dengan menggunakan bahan daripada sumber internet untuk mendedahkan maklumat yang terkini. Pada akhir pengajarannya murid diperlukan membuat persembahan hasil pembelajaran melalui komputer dan disebarkan kepada rakan melalui classnet. Di samping itu murid boleh berbincang dan berinteraksi dengan menggunakan komputer masing-masing melalui classnet tadi.

(c) Melahirkan ciptaan baru

Guru perlu mengekspoitasikan semua sumber pembelajaran untuk mencipta bahan pengajaran dan pembelajaran yang canggih dari segi novelty, daya tarikan dan keberkesanannya. Guru perlu dahulu bersikap positif dan komited untuk sentiasa berusaha demi meningkatkan lagi mutu bahan yang diciptanya. Guru juga harus peka kepada respon pelajar terhadap penggunaan bahannya dan sentiasa memperbaikinya.

(d) Perkongsian melalui jaringan

Ciptaan guru haruslah dikongsi diantara guru dan antara sekolah dengan sekolah yang lain supaya ia boleh dinikmati bersama. Disarankan semua guru bermuafakat antara satu sama lain untuk berkongsi bahan melalui edunet. Dengan kepakaran masing-masing guru boleh menumpukan penghasilannya di dalam sesuatu bidang dan dikongsi bersama. Melalui internet seseorang guru boleh mengembangkan potensinya menghasilkan bahan pengajaran sehingga peringkat antarabangsa

(e) Penyelidikan dan pembangunan

Guru digalakkan membuat kajian tindakan di sekolah. Kajian sebegini dapat mengesan maklum balas murid terhadap bahan pengajaran yang digunakan. Hasil kajian mengenai keberkesanan bahan akan dapat disebarkan dan bagitu juga guru-guru lain boleh meneruskan kajian tersebut dan ia akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan bahan tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

5.2.4 Sumber-Sumber Bahan

a. Katalog

(i) Katalog ialah rekod kemaskini mengenai koleksi sesebuah pusat sumber dan juga merupakan wakil buku dan bukan buku dalam pusat sumber.
(ii) Katalog digunakan bertujuaan untuk memudahkan pembaca mencari bahan/maklumat.
(iii) Terdapat beberapa jenis katalog seperti berbentuk kad, buku visible indeks, mikrofis dan data buku dalam komputer (OPAC)
(iv) Terdapat tiga jenis kad katalog iaitu kad pengarang, kad judul dan kad perkara.
(v) Kad-kad tersebut disimpan atau disusun dalam laci-laci kabinet katalog yang biasanya diletakkan pada sudut atau ruang yang mudah dilihat.
(vi) Tiap-tiap laci dilabelkan dengan huruf dan perkataan yang menunjukan susunan kad-kad dan jenis indeks untuk memudahkan para pengguna membuat rujukan.

b. Kamus

(i) Buku yang mengandungi kata-kata yang disusun menurut abjad dengan keterangan tentang perkataan dinyatakan dalam bahasa yang sama atau dalam bahasa yang lain.
(ii) Bahan yang menerangkan tentang perkataan-perkataan, sebutan, ejaan, asas perkataan, penggunaan perkataan tersebut dalam ayat, imbuhan, makna seerti, terjemahan dan jenis perkataan. Contoh-contoh Kamus: Kamus Dwibahasa, Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Arab dan sebagainya.

c. Ensiklopedia

(i) Bahan yang mengandungi pelbagai maklumat dalam semua bidang ilmu pengetahuan.
(ii) Menjelaskan prinsip-prinsip umum yang asas serta penerangan ringkas mengenai definisi, gambaran, penjelasan, sejarah, kedudukan semasa, statistik dan bibliografi.
(iii) Bertujuaan untuk menjadi bahan rujukan: mengandungi artikel-artikel penyelidikan, bibliografi bidang-bidang tertentu, data-data ringkas seperti nama orang, tarikh lahir, tempat-tempat geografi dan peristiwa-peristiwa. Bibliografi di akhir setiap artikel adalah bertujuan untuk pembaca membuat rujukan lanjut.

Contoh-contoh Ensiklopedia: Ensiklopedia Britannica, The World Book Encyclopedia dan The Encyclopedia of Psychology.

d. Kamus Biografi

(i) Merupakan sketsa riwayat hidup yang disusun mengikut abjad menggunakan nama keluarga (surname). Maklumat yang diberi adalah keterangan ringkas mengenai tokoh-tokoh terkenal seperti kehidupannya, minat, pendidikan, latar belakang, kedudukan dan alamat yang dinyatakan secara gabungan.
(ii) Jenis-jenis kamus Biografi :

universal (tidak terbatas kepada negara atau profesion);
kebangsaan (meliputi negara tertentu bagi semua profesion);
profesional (terhad kepada tokoh-tokoh di dalam bidang tertentu sama ada universal atau kebangsaan)

e. Almanak / Buku Tahunan

(i) Almanak adalah satu komponen data-data dan statistik penting mengenai negara, tokoh-tokoh, peristiwa dan sebagainya. Diterbitkan tiap-tiap tahun atau dua tahun sekali.
(ii) Almanak lebih umum dan Buku Tahunan lebih khusus (mengendalikan perkara-perkara tertentu sahaja).
(iii) Tujuan Buku Tahunan ialah untuk merekodkan aktiviti tahunan bagi negara atau bidang-bidang tertentu, untuk menunjukan aliran (trend) perkembangan tamadun sebagai kunci kepada maklumat tambahan kerana memberikan punca maklumat.
(iv) Terdapat Buku Tahunan Khusus yang mencatitkan nama tokoh tokoh utama dalam sesuatu bidang dengan alamat dan sejarah hidup ringkas. Contoh-contoh Almanak / Buku Tahunan: Reader's Digest Almanac and Yearbook, World Almanac and Book of Facts, Malaysia Yearbook.

f. Direktori

(i) Suatu senarai mengenai orang atau organisasi yang disusun secara sistematik mengikut susunan abjad atau nombor pengkelasan
(ii) mengandungi alamat afiliasi (afiliation) untuk individu. Ia juga mengandungi alamat, fungsi, staf dan lain-lain data mengenai organisasi. Contoh-contoh Direktori: The Foundation Directory, American Universities and Collages, Direktori Telefon, Directory of Special Libraries and Information Centres.

g. Gazetir

(i) Sejenis kamus mengenai tempat-tempat. Memberikan maklumat maklumat tentang sejarah, statistik, kebudayaan dan lain-lain yang berkenaan mengenai tempat-tempat.
(ii) Edisi baru memberikan maklumat semasa dan edisi lama memberikan maklumat sejarah mengenai tempat-tempat itu. Biasanya terdapat di dalam atlas dan ada juga dibuat berasingan. Merupakan indeks tidak lansung untuk mengesan maklumat mengenai tempat-tempat.

Contoh Gazetir: Colombia-Lippincott Gazzetter of the World.

h. Bibliografi

(i) Nama yang diberikan untuk suatu senarai buku-buku, manuskrip dan lain-lain penerbitan, dan diterang dan disusun secara sistematik.
(ii) Bibliografi terdiri daripada beberapa jenis.

Bibliografi Umum tidak terhad kepada seorang pengarang, perkara, negara atau jangka masa. Bibliografi Pengarang adalah senarai karya-karya yang dihasilkan oleh seorang pengarang. Bibliografi Perkara pula terhad kepada satu perkara sahaja.
Bibliografi Kebangsaan atau Wilayah pula mengandungi bahan berkaitan dengan sesebuah negara atau wilayah.
Bibliografi Perdagangan tertumpu kepada perniagaan buku dan membekalkan maklumat untuk membeli dan menjual buku.

i. Indeks

(i) Tidak memberikan maklumat tetapi menunjukan dimanakah maklumat itu boleh didapati. Contoh indeks buku menunjukan muka surat yang mengandungi maklumat yang dicari.
(ii) Indeks untuk bahan berkala:
Indeks am: meliputi banyak jenis bahan berkala (umum atau khusus)
Indeks perkara: mengandungi bahan bukan sahaja dari bahan berkala tetapi juga buku, risalah, laporan dan lain-lain dokumen.
(iii) Indeks surat khabar.
(vi) Indeks Serials
(v) Indeks bahan dalam koleksi sajak, drama, fiksyen, lagu-lagu dan lain-lain.
(vi) Indeks online: CD ROM

j. Buku Laporan Tahunan

(i) Buku Laporan Tahunan merupakan rujukan yang berguna dan mudah tentang negara dan industri.
(ii) Memuatkan maklumat-maklumat pentadbiran, pengurusan, peristiwa,aktiviti-aktiviti yang sebagainya tentang sesebuah negara, pertubuhan dan industri yang dijalankan sepanjang tahun itu. Segala maklumat maklumat mutakhir dibuatkan secara jelas dan tepat untuk memudahkan pembaca memanfaatkannya.
(iii) Buku ini biasanya diterbitkan oleh dewan perniagaan, jabatan kerajaan atau syarikat perniagaan. Maklumat yang terkandung di dalam Buku Laporan Tahunan termasuklah: Information Malaysia Year Book dan Buku Rasmi tahunan MalaysiaBuku Tahunan Perangkaan Malaysia.

k. Peta / Atlas

(i) Peta adalah gambaran alam yang sebenar tetapi telah dikecilkan dalam bentuk yang mudah dikaji melalui penggunaan grafik.
(ii) Atlas pula ialah kumpulan peta yang telah dijilid dalam bentuk buku. Peta merupakan sumber maklumat terperinci yang menggunakan simbol-simbol dan gambaran grafik untuk menerangkan sesuatu idea, kedudukan bandar,sungai, jenis-jenis tumbuhan, taburan penduduk dan sebagainya.
(iii) Peta boleh didapati dalam enskopedia, laporan, buku panduan dan sebagainya.

RUMUSAN

Bahan bantuan mengajar merupakan sumber penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa bahan bantuan mengajar mungkin objektif pengajaran kurang tercapai. Oleh sebab itu penggunaan bahan bantuan mengajar adalah amat digalakkan penggunaannya. Bahan bantuan mengajar tidak akan berkesan tanpa penyediaan yang baik dan berinovatif dan berinteraktif. Banyak kriteria pemilihan bahan bantuan mengajar perlu ada supaya ia lebih berkesan dan menarik. Bahan bantuan mengajar yang baik perlu disediakan oleh guru supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik dan berkesan serta mencapai objektifnya.

GLOSARI

Alat Pandang Dengar ­ Alat yang dipakai menggunakan deria melihat dan mendengar
Bahan Bercetak ­ Melibatkan semua jenis bahan yang dihasilkan melaluipercetakan.

UJIAN 1
1. Bahan berasaskan komputer ini menjadi satu masalah kepada pelajar luar bandar; Jelaskan.

UJIAN 2

1. Senaraikan 5 kriteria pemilihan Bahan Bantuan Mengajar?

2 comments:

sang pendekar said...

artikel yang menarik, terimakasih telah berbagi.

oia, jangan lupa mampir ke sini ya...

chris said...

great post. thank for share. I really need something like this.

and dont forget to pay a visit here