Thursday, November 1, 2007

Topik 2 Tutorial



Latar belakang Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) yang diasaskan oleh Howard Gardner (1983) menyatakan bahawa manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan (intelligences): merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi. Jenis kecerdasan yang dikenal pasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Gardner menjelaskan bahawa setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung - seseorang mungkin lemah dalam sesuatu bidang kemahiran tetapi cemerlang dalam domain (bidang kecerdasan) yang lain. Menurut beliau lagi, setiap individu mempunyai kelapan-lapan kecerdasan tetapi pada darjah atau kadar yang berbeza-beza dari segi kekuatan dan kemahiran. Kecerdasan tersebut boleh dikembangkan menerusi pendidikan, pengalaman dan persekitaran.

Teori IQ (berasaskan kepada kecerdasan logik-matematik dan verbal-linguistik) pula mengandaikan bahawa potensi intelek seorang individu itu adalah tetap, ditentukan secara genetik dan boleh diukur pada peringkat usia muda serta akan menentukan potensi individu manusia. Gardner pula melihat fungsi kognitif dalam pandangan yang lebih luas, bertentangan dengan definisi kecerdasan mengikut Teori IQ.

Gardner telah mendefinisikan kecerdasan sebagai satu set kemahiran yang membolehkan seseorang itu menyelesaikan masalah atau menghasilkan keluaran atau perkhidmatan yang bernilai kepada budayanya. Oleh yang demikian, teori Gardner telah menyediakan rangka kerja untuk satu perubahan (metamophosis) pendidikan dalam semua peringkat pembelajaran.


Rumusan Definisi Teori Kecerdasan Pelbagai

1. Satu set kemahiran yang membolehkan individu menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi dalam kehidupannya.

2. Kebolehan mencipta barangan atau perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan budayanya.

3. Potensi mencari atau mencipta masalah yang membolehkan individu memperolehi pengetahuan baru.


Prinsip-Prinsip Teori Kecerdasan Pelbagai

1. Terdapat pelbagai kecerdasan dalam diri setiap individu
2. Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik dan sentiasa berubah
3. Kecerdasan dalam diri setiap individu dan juga di antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya
4. Semua kecerdasan adalah bersifat dinamik
5. Kecerdasan Pelbagai boleh dikenal pasti dan dinyatakan
6. Setiap individu berhak mendapat peluang untuk mengenal dan membangunkan kepelbagaian kecerdasannya
7. Penggunaan satu daripada kecerdasan boleh digunakan untuk meningkatkan kecerdasan yang lain
8. Latar belakang peribadi adalah faktor penting dalam membentuk pengetahuan, kepercayaan dan kemahiran dalam semua kecerdasan

Penerangan Teori

1. Setiap manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan Dalam diri setiap individu, kelapan-lapan kecerdasan berfungsi bersama dalam cara yang unik. Ada yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi dalam hampir kesemua lapan kecerdasan dan sebaliknya bagi sesetengah orang. Kebanyakan daripada kita terletak di tengah-tengah dengan kekuatan dalam beberapa jenis kecerdasan, dan kurang terbentuk dalam satu atau dua jenis kecerdasan.

2. Kecerdasan boleh dibangunkan. Gardner menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.

3. Kecerdasan berfungsi bersama dengan cara yang kompleks. Tidak ada kecerdasan yang berfungsi secara bersendirian. Kecerdasan berinteraksi dan berkait dengan satu sama lain.

4. Terdapat pelbagai cara untuk menjadi cerdas.Tidak terdapat satu set kelebihan seseorang mesti perolehi untuk dianggap sebagai cerdas. Ada orang yang tidak pandai menari tetapi sungguh cekap dalam membina model. Kedua-dua kecerdasan ini memerlukan kecerdasan kinestetik


Rasional kewujudan kecerdasan mengikut pendapat Howard Gardner:

Gardner telah membuat rujukan daripada beberapa sumber untuk membuktikan wujudnya lapan jenis kecerdasan . Beliau cuba membezakan di antara kecerdasan yang mempunyai punca biologi dengan bakat atau kemahiran. Beliau mengenal pasti kriteria asas setiap kecerdasan perlu ada supaya boleh dianggapkan sebagai kecerdasan.


1. Kajian kecederaan otak.

Apabila seseorang mengalami kecederaan otak, satu bahagian kecerdasan akan rosak. Contohnya, apabila seseorang mengalami kecederaan di kawasan Broca, kecerdasan linguistik mungkin terjejas. Individu tersebut mungkin sukar untuk bertutur, membaca dan menulis, tetapi masih boleh mengira, menari dan menyanyi.

2. Individu luar biasa.

Terdapat individu yang mempunyai tahap yang tinggi dalam sesuatu kecerdasan. Ada individu yang boleh mencongak nombor multi digit dalam kepala atau boleh memainkan gubahan muzik selepas sekali mendengarnya.(prodigy). Ada individu yang cacat mental tetapi mempunyai keupayaan yang tinggi dalam kecerdasan lain seperti muzik atau melukis. (savants).

3. Operasi Asas

Setiap kecerdasan mempunyai satu set operasi asas. Contohnya dengan kecerdasan muzik, seseorang perlu boleh mendiskriminasi struktur ritma dan sensitif kepada nada.

4. Sejarah perkembangan

Setiap kecerdasan mempunyai sejarah perkembangannya tersendiri.- masa timbulnya kecerdasan dalam zaman kanak-kanak, masa kemuncaknya dalam kehidupan seseorang dan masa kejatuhannya secara beransur. Kecerdasan muzik contohnya boleh memuncak pada peringkat awal tetapi kecerdasan linguistik mungkin memuncak pada peringkat lewat.

5. Sejarah evolusi

Setiap kecerdasan mempunyai asal-usul dalam sejarah manusia. Contohnya, bukti arkeologi menyokong kewujudan alat muzik kuno. Lukisan gua juga merupakan contoh bagi kecerdasan visual-ruang.

6. Dapatan kajian psikologi

Beberapa kajian psikologi membuktikan bahawa kecerdasan berfungsi secara berasingan. Contohnya, seseorang mungkin menguasai sesuatu kemahiran, seperti menyelesaikan masalah matematik, tetapi mungkin mereka tidak dapat membaca dengan baik. Begitu juga, seseorang individu mungkin mempunyai memori yang kuat untuk mengingati perkataan tetapi mungkin sukar untuk mengingati rupa seseorang.

7. Dapatan psikometrik

Ujian setara menyokong Teori Kecerdasan Pelbagai. Terdapat beberapa ujian setara yang menguji beberapa jenis kecerdasan. Jika seseorang dapat menyelesaian masalah yang memerlukan penaakulan abstrak, maka ini membuktikan beliau mempunyai kecerdasan logik-matematik.

8. Sistem simbol.

Kecerdasan boleh ditunjukkan dalam bentuk simbol. Contohnya, terdapatnya bahasa lisan dan penulisan, bahasa grafik, bahasa komputer dan sistem nota muzik.

(Sumber http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pNp/multiple/kenal.htm )








Kaedah pembelajaran kontekstual membantu pelajar mengaitkan kandungan pembelajaran kepada situasi sebenar dan mencari makna tentang apa yang dipelajari

Ciri pembelajaran kontekstual :

• Pelajar dapat memahami sesuatu yang dipelajari dalam situasi yang lebih luas yang
berkait dengan real life issues.
• Kaitan dapat dibuat apabila otak dapat membuat pola tertentu dengan apa yang dipelajari dan mengenepikan maklumat yang asing atau tidak berkaitan.
• Pembelajaran mengikut konteks berlaku apabila pelajar mengaitkan antara:

- apa yang dipelajari dan apa yang dilakukan
- pengalaman di sekolah dan pengalaman dalam kehidupan
- pengetahuan dan aplikasi
- bidang akademik dan vokasional
- pelbagai disiplin ilmu
- kandungan subjek dan kegunaannya





No comments: