Friday, November 2, 2007
TOPIK 3 STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Membantu kanak-kanak untuk belajar dengan yakin, dengan penuh tumpuan dan berkesan amat penting dalam persekolahan di peringkat rendah. Keadaan yang berjaya memandu murid untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran akan menjadikan mereka seronok dan terangsang untuk melibatkan diri sepenuhnya. Hal ini menunjukkan strategi, kaedah dan teknik yang sesuai dan berpatutan harus difahami oleh guru. Tajuk ini mebincangkan konsep dan prinsip strategi, kaedah dan teknik serta menghuraikan cara amalannya dalam dan luar bilik darjah supaya pengajaran mata pelajaran bidang Kajian Sosial berlangsung dengan berkesan dan pembelajaran berlaku dengan penuh keseronokan.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menyatakan maksud strategi, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran; dan
2. menjelaskan cara aplikasi strategi, pelbagai kaedah dan teknik untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK
Bidang pembelajaran dalam disiplin Kajian Sosial melibatkan sosiobudaya kehidupan murid. Dengan itu sudah pasti pembelajaran lebih bermakna apabila murid sendiri melakukan aktiviti dan menyampaikan sendiri pengalaman mereka. Dalam masa yang sama guru sebagai fasilitator menjadi pemangkin kepada pembelajaran berkesan.
Seterusnya apabila aktiviti pembelajaran dialami oleh murid secara langsung, dipandu oleh guru dan dibantu dengan penggunaan bahan mengajar menarik, sudah pasti hasil pembelajaran boleh dicapai secara optimum. Ini menunjukkan bahawa strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan haruslah sesuai untuk mendorong kepada pencapaian hasil pembelajaran yang diharapkan.
Thursday, November 1, 2007
Topik 2 Tutorial
Latar belakang Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) yang diasaskan oleh Howard Gardner (1983) menyatakan bahawa manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan (intelligences): merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi. Jenis kecerdasan yang dikenal pasti adalah visual-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Gardner menjelaskan bahawa setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung - seseorang mungkin lemah dalam sesuatu bidang kemahiran tetapi cemerlang dalam domain (bidang kecerdasan) yang lain. Menurut beliau lagi, setiap individu mempunyai kelapan-lapan kecerdasan tetapi pada darjah atau kadar yang berbeza-beza dari segi kekuatan dan kemahiran. Kecerdasan tersebut boleh dikembangkan menerusi pendidikan, pengalaman dan persekitaran.
Teori IQ (berasaskan kepada kecerdasan logik-matematik dan verbal-linguistik) pula mengandaikan bahawa potensi intelek seorang individu itu adalah tetap, ditentukan secara genetik dan boleh diukur pada peringkat usia muda serta akan menentukan potensi individu manusia. Gardner pula melihat fungsi kognitif dalam pandangan yang lebih luas, bertentangan dengan definisi kecerdasan mengikut Teori IQ.
Gardner telah mendefinisikan kecerdasan sebagai satu set kemahiran yang membolehkan seseorang itu menyelesaikan masalah atau menghasilkan keluaran atau perkhidmatan yang bernilai kepada budayanya. Oleh yang demikian, teori Gardner telah menyediakan rangka kerja untuk satu perubahan (metamophosis) pendidikan dalam semua peringkat pembelajaran.
Rumusan Definisi Teori Kecerdasan Pelbagai
1. Satu set kemahiran yang membolehkan individu menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi dalam kehidupannya.
2. Kebolehan mencipta barangan atau perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan budayanya.
3. Potensi mencari atau mencipta masalah yang membolehkan individu memperolehi pengetahuan baru.
Prinsip-Prinsip Teori Kecerdasan Pelbagai
1. Terdapat pelbagai kecerdasan dalam diri setiap individu
2. Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik dan sentiasa berubah
3. Kecerdasan dalam diri setiap individu dan juga di antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya
4. Semua kecerdasan adalah bersifat dinamik
5. Kecerdasan Pelbagai boleh dikenal pasti dan dinyatakan
6. Setiap individu berhak mendapat peluang untuk mengenal dan membangunkan kepelbagaian kecerdasannya
7. Penggunaan satu daripada kecerdasan boleh digunakan untuk meningkatkan kecerdasan yang lain
8. Latar belakang peribadi adalah faktor penting dalam membentuk pengetahuan, kepercayaan dan kemahiran dalam semua kecerdasan
Penerangan Teori
1. Setiap manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan Dalam diri setiap individu, kelapan-lapan kecerdasan berfungsi bersama dalam cara yang unik. Ada yang mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi dalam hampir kesemua lapan kecerdasan dan sebaliknya bagi sesetengah orang. Kebanyakan daripada kita terletak di tengah-tengah dengan kekuatan dalam beberapa jenis kecerdasan, dan kurang terbentuk dalam satu atau dua jenis kecerdasan.
2. Kecerdasan boleh dibangunkan. Gardner menyatakan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
3. Kecerdasan berfungsi bersama dengan cara yang kompleks. Tidak ada kecerdasan yang berfungsi secara bersendirian. Kecerdasan berinteraksi dan berkait dengan satu sama lain.
4. Terdapat pelbagai cara untuk menjadi cerdas.Tidak terdapat satu set kelebihan seseorang mesti perolehi untuk dianggap sebagai cerdas. Ada orang yang tidak pandai menari tetapi sungguh cekap dalam membina model. Kedua-dua kecerdasan ini memerlukan kecerdasan kinestetik
Rasional kewujudan kecerdasan mengikut pendapat Howard Gardner:
Gardner telah membuat rujukan daripada beberapa sumber untuk membuktikan wujudnya lapan jenis kecerdasan . Beliau cuba membezakan di antara kecerdasan yang mempunyai punca biologi dengan bakat atau kemahiran. Beliau mengenal pasti kriteria asas setiap kecerdasan perlu ada supaya boleh dianggapkan sebagai kecerdasan.
1. Kajian kecederaan otak.
Apabila seseorang mengalami kecederaan otak, satu bahagian kecerdasan akan rosak. Contohnya, apabila seseorang mengalami kecederaan di kawasan Broca, kecerdasan linguistik mungkin terjejas. Individu tersebut mungkin sukar untuk bertutur, membaca dan menulis, tetapi masih boleh mengira, menari dan menyanyi.
2. Individu luar biasa.
Terdapat individu yang mempunyai tahap yang tinggi dalam sesuatu kecerdasan. Ada individu yang boleh mencongak nombor multi digit dalam kepala atau boleh memainkan gubahan muzik selepas sekali mendengarnya.(prodigy). Ada individu yang cacat mental tetapi mempunyai keupayaan yang tinggi dalam kecerdasan lain seperti muzik atau melukis. (savants).
3. Operasi Asas
Setiap kecerdasan mempunyai satu set operasi asas. Contohnya dengan kecerdasan muzik, seseorang perlu boleh mendiskriminasi struktur ritma dan sensitif kepada nada.
4. Sejarah perkembangan
Setiap kecerdasan mempunyai sejarah perkembangannya tersendiri.- masa timbulnya kecerdasan dalam zaman kanak-kanak, masa kemuncaknya dalam kehidupan seseorang dan masa kejatuhannya secara beransur. Kecerdasan muzik contohnya boleh memuncak pada peringkat awal tetapi kecerdasan linguistik mungkin memuncak pada peringkat lewat.
5. Sejarah evolusi
Setiap kecerdasan mempunyai asal-usul dalam sejarah manusia. Contohnya, bukti arkeologi menyokong kewujudan alat muzik kuno. Lukisan gua juga merupakan contoh bagi kecerdasan visual-ruang.
6. Dapatan kajian psikologi
Beberapa kajian psikologi membuktikan bahawa kecerdasan berfungsi secara berasingan. Contohnya, seseorang mungkin menguasai sesuatu kemahiran, seperti menyelesaikan masalah matematik, tetapi mungkin mereka tidak dapat membaca dengan baik. Begitu juga, seseorang individu mungkin mempunyai memori yang kuat untuk mengingati perkataan tetapi mungkin sukar untuk mengingati rupa seseorang.
7. Dapatan psikometrik
Ujian setara menyokong Teori Kecerdasan Pelbagai. Terdapat beberapa ujian setara yang menguji beberapa jenis kecerdasan. Jika seseorang dapat menyelesaian masalah yang memerlukan penaakulan abstrak, maka ini membuktikan beliau mempunyai kecerdasan logik-matematik.
8. Sistem simbol.
Kecerdasan boleh ditunjukkan dalam bentuk simbol. Contohnya, terdapatnya bahasa lisan dan penulisan, bahasa grafik, bahasa komputer dan sistem nota muzik.
(Sumber http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pNp/multiple/kenal.htm )
Kaedah pembelajaran kontekstual membantu pelajar mengaitkan kandungan pembelajaran kepada situasi sebenar dan mencari makna tentang apa yang dipelajari
Ciri pembelajaran kontekstual :
• Pelajar dapat memahami sesuatu yang dipelajari dalam situasi yang lebih luas yang
berkait dengan real life issues.
• Kaitan dapat dibuat apabila otak dapat membuat pola tertentu dengan apa yang dipelajari dan mengenepikan maklumat yang asing atau tidak berkaitan.
• Pembelajaran mengikut konteks berlaku apabila pelajar mengaitkan antara:
- apa yang dipelajari dan apa yang dilakukan
- pengalaman di sekolah dan pengalaman dalam kehidupan
- pengetahuan dan aplikasi
- bidang akademik dan vokasional
- pelbagai disiplin ilmu
- kandungan subjek dan kegunaannya
TOPIK 2 TEORI KECERDASAN PELBAGAI DAN PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Topik ini menghuraikan tentang teori kecerdasan pelbagai, pendekatan konstruktivisme, pembelajaran kontekstual dan penyelesaian masalah melalui inkuiri penemuan untuk diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Kajian Sosial. Teori kecerdasan pelbagai menghuraikan manusia mempunyai cara tertentu untuk menerima dan memahami sesuatu ilmu. Pendekatan konstruktivisme pula memandu pelajar untuk mencari penyelesaian masalah sama ada secara konteks atau pengalaman sebenar yang merangsang mereka untuk memperoleh penemuan berasaskan bukti.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menjelaskan teori kecerdasan pelbagai;
2. menghuraikan gaya pembelajaran murid dan cara untuk mengpalikasikanya dalam pengajaran;
3. menghuraikan teori konstruktivisme dan kontekstual dan aplikasinya dalam pengajaran dan pembelajaran; dan
4. menghuraikan pendekatan penyelesaian masalah dan inkuri penemuan dan kesesuaiannya dalam pengajaran pembelajaran.
GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK
Dalam pengajaran, perancangan instruksional harus mengambil kira aspek kognisi dan kaitannya dengan strategi praktikal dalam pembelajaran. Ini memberi asas kepada penyusunan strategi pengajaran yang boleh melibatkan murid mengembangkan kemahiran berfikir supaya pembelajaran bermakna kepada mereka. Dengan itu kefahaman tentang teori kecerdasan pelbagai akan membantu seorang guru menguasai kemahiran mengajar dengan lebih baik. Ini adalah kerana teori ini mengandaikan setiap individu mempunyai gaya dan cara pembelajaran yang berbeza dan dalam kadar yang pelbagai pula. Pemahaman dalam pendekatan konstruktivisme dan pembelajaran secara konteksual juga akan membantu guru menyusun strategi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan latar belakang murid yang lebih spesifik. Kefahaman aspek teori dan pendekatan ini akan membantu guru untuk melaksanakan pengajaran bidang kajian sosial dengan lebih berkesan kerana bidang kajian sosial amatlah berkait rapat dengan kehidupan seharian, budaya dan masyarakat termasuk pelajar. Aspek ini boleh digunakan oleh guru sebagai asas rangsangan pembelajaran.
Topik ini telah menghuraikan tentang dimensi pembelajaran, konsep Teori Kecerdasan Pelbagai, pendekatan konstruktivisme dan pembelajaran kontekstual serta penyelesaian masalah melalui inkuiri-penemuan. Kesemua ini boleh diringkaskan sebagai:
• Teori Kecerdasan Pelbagai mengaitkan bahawa seseorang itu mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri yang boleh mempengaruhi cara ia bertindak dan berinteraksi
• Pendekatan Konstruktivisme memberi penjelasan murid membina sendiri pengetahuan secara aktif dengan berpandukan pengetahuan atau pengalaman sedia ada. Dalam proses tersebut, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diperolehi dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.
• Penyelesaian masalah melalui inkuiri-penemuan memberi peluang kepada murid memperolehi pengalaman melalui daya usaha mereka sendiri dan guru hanya sebagai pembimbing dalam pembelajaran.
TOPIK 1 STRUKTUR KURIKULUM KAJIAN SOSIAL
Anda biasa dengan struktur Kurikulum Baru Sekolah Rendah? Kalau biasa, apa pula mata pelajaran yang terkandung dalam disiplin Kajian Sosial dalam sistem persekolahan rendah di negara kita? Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan dua mata pelajaran yang tertakluk di bawah disiplin Kajian Sosial. Kedua-dua mata pelajaran ini diajar di sekolah rendah pada Tahap 2. Pengajaran kedua-dua mata pelajaran ini amat penting diketahui dan kuasai oleh guru-guru supaya pembelajaran menyeronokkan, merangsang dan aktif di samping membantu mencapai hasrat yang diinginkan dalam matlamat mata-mata pelajaran tersebut. Tajuk ini memberi pendedahan tentang matlamat, latar belakang, objektif, organisasi huraian dan isi kandungan Kajian Tempatan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (Semakan) (KBSR yang telah disemak semula buat kali kedua sejak tahun 2004), dan mata pelajaran baru iaitu Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Huraian Sukatan kedua-dua mata pelajaran ini diberi penjelasan untuk membantu guru supaya lebih bersedia dari segi kandungan sukatan dengan lebih mendalam. Dalam tajuk ini juga diberi penerangan tentang pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran Kajian Tempatan termasuk penggunaan media elektronik yang boleh membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menjelaskan latar belakang, matlamat dan objektif Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR);
2. menjelaskan dan menghuraikan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 4, 5 dan 6 Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR) dengan menggunakan pengurusan grafik;
3. menyusun ruang liput isi kandungan mata pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan (KBSR);
4. mengklasifikasikan sumber-sumber yang berkaitan dengan pengajaran pembelajaran tajuk-tajuk dan isi kandungan Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan Tahun 4, 5 dan 6 serta Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan 6 (KBSR); dan
5. memilih bahan sumber yang sesuai supaya pengajaran menjadi lebih berkesan dan menarik
GAMBARAN KESELURUHAN TOPIK
Topik 1 ini bermula dengan pengenalan dan perspektif disiplin sains sosial dan mata pelajaran yang berkaitan dalam sistem persekolahan sekolah rendah negara. Latar belakang disiplin ini dihuraikan supaya guru-guru yang mengajar berada dalam keadaan yang jelas dan tidak tertanya-tanya akan bentuk bidang ini yang merentas pelbagai disiplin. Seterusnya anda akan dibawa untuk membincang skop dan pemetaan sukatan pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (KBSR) supaya anda dapat kefahaman yang jelas dan padu sebelum boleh mengajar kedua-dua mata pelajaran ini dengan baik di sekolah. Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan dan bermakna, sumber pengajaran dan pembelajaran harus diketahui oleh anda sebagai guru. Mengapa dikatakan demikian? Ini adalah kerana sumber pengajaran dan pembelajaran merupakan katalist kepada kelancaran proses pencapaian hasil pembelajaran. Jenis-jenis sumber dari pelbagai bentuk harus diketahui supaya anda lebih yakin untuk menyampai pengajaran dan pembelajaran kepada murid anda.
1.1 SUKATAN PELAJARAN
1.1.1 Latar Belakang dan Pengenalan
Kursus Kajian Sosial dalam kurikulum Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan Kepujian digubal untuk menyediakan guru dengan pengetahuan dan kemahiran pengajaran mata pelajaran disiplin Kajian Sosial di sekolah rendah. Sukatan pelajaran dalam kursus Kajian Sosial ini merangkumi bidang sains kemanusiaan dan sains kemasyarakatan iaitu pengintegrasian disiplin sosiologi, sejarah, ekonomi, geografi dan sains politik. Pengintergrasian disiplin-displin ini dibuat untuk mengkaji dan melihat pola interksi manusia dalam pelbagai budaya. Hal ini dilaksanakan agar pengajian secara menyeluruh tentang budaya kehidupan manusia sejagat amnya dan masyarakat Malaysia khususnya dapat dibuat. Sukatan pelajaran ini dirangka sebegitu rupa supaya dapat menyediakan guru-guru berpengetahuan luas dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan serta berketrampilan sesuai dengan kehendak pendidikan terkini. Kandungan sukatan dalam kursus ini menumpukan kepada penyediaan guru untuk mengajar mata pelajaran Kajian Tempatan dan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dalam sistem sekolah rendah di negara ini. Semua tajuk dalam modul kursus menjurus kepada matlamat ini. Anda sebagai guru yang akan melibatkan diri dengan pengajaran bidang kajian sosial haruslah mempunyai ilmu yang jauh lebih mendalam dari apa yang terdapat dalam kandungan kedua-dua mata pelajaran tersebut. Selaras dengan senario ini, perlulah dijelaskan dalam Modul 1 ini, latar belakang kedua-dua mata pelajaran tersebut satu persatu. Kita mulakan dengan Kajian Tempatan terlebih dahulu.
Sebahagian daripada anda mungkin pernah mengajar subjek Kajian Tempatan (KT) dan sebahagian yang lain sekurang-kurangnya tahu bahawa mata pelajaran ini telah diajarkan di sekolah rendah. Cuba imbas kembali, bilakah KT mula diperkenalkan dalam sistem persekolahan di negara kita? Pada pandangan anda,apakah matlamat subjek ini diperkenalkan?
Pernahkah anda diperkenalkan kepada Model Konseptual Pendidikan Guru?
a. Kajian Tempatan
Kajian Tempatan mula diperkenalkan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1994 dan diajar di sekolah rendah mulai Tahap 2 iaitu pada Tahun 4, 5 dan 6 persekolahan. Ini bermakna, lingkungan umur murid yang mengikuti mata pelajaran tersebut adalah di antara 10 tahun hingga 12 tahun. Mengapakah pada peringkat umur sebegini murid-murid telah didedahkan dengan perkara-perkara yang berkait dengan bidang sosiologi, sejarah, ekonomi, geografi dan sains politik? Bukankah mereka terlalu muda untuk dibebani dengan perkara-perkara sedemikian? Sekiranya anda mempunyai pandangan tentang persoalan ini, ambil pen dan kertas dan catatkan pandangan anda itu. Anda seharusnya tahu bahawa setiap pandangan yang anda berikan adalah hak anda.
Namun, sekiranya anda tidak ada idea tentang perkara yang dibincangkan, jangan risau buat masa ini. Mungkin anda letih. Rehat sebentar, bancuh secawan kopi dan hirup kopi tersebut. Sudah segar kembali? Sambung tugas anda dengan melayari internet untuk mencari bahan-bahan yang berkaitan.
Menurut Piaget (1969), murid dalam lingkungan umur 10 hingga 12 telah mencapai tahap untuk memahami konsep positif dan negatif. Merujuk kajian awal Piaget (1937), kanak-kanak dalam lingkungan umur ini mengalami proses kognitif yang membantu mereka memahami sesuatu konsep. Bahan maujud yang mereka lihat dan kenal boleh membantu mereka membentuk konsep tentang sesutu perkara atau benda. Sebagai contoh, murid boleh mengenali pokok, bakul, rumah atau jambatan apabila mereka melihat rupa, bentuk, warna, saiz atau kegunaannya pada mereka. Oleh kerana organisasi kandungan dan bidang pembelajaran Kajian Tempatan merangkumi bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan (iaitu berkaitan dengan manusia dan masyarakat), murid di Tahun 4, 5 dan 6 diandaikan dapat memahami dan menghayati aspek ini apabila mereka didedahkan kepada konsep Rumah Sebagai keperluan Asas (Tema 1) hingga ke konsep yang lebih luas iaitu Kejayaan dan Kebanggaan Negara (Tema 6).
Merujuk teori yang dikemukakan oleh Piaget di atas, cuba fikirkan apakah matlamat subjek Kajian Tempatan. Catatkan apa yang telah anda fikir itu di dalam buku catatan anda. Maklumlah, sebagai manusia kadang kala kita terlupa apa yang telah kita dapat hari ini apabila ditanya hari esoknya.
1.1.2 Matlamat
Sekarang kita lihat pula matlamat KajianTempatan sebagai satu mata pelajaran di sekolah.
Wednesday, October 31, 2007
Topik 1 STRUKTUR KURIKULUM KAJIAN SOSIAL
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menjelaskan latar belakang, matlamat dan objektif Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR);
2. menjelaskan dan menghuraikan Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 4, 5 dan 6 Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan (KBSR) dengan menggunakan pengurusan grafik;
3. menyusun ruang liput isi kandungan mata pelajaran Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan (KBSR);
4. mengklasifikasikan sumber-sumber yang berkaitan dengan pengajaran pembelajaran tajuk-tajuk dan isi kandungan Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan Tahun 4, 5 dan 6 serta Pendidikan Sivik dan Kewarganengaraan Tahun 4, 5 dan 6 (KBSR); dan
5. memilih bahan sumber yang sesuai supaya pengajaran menjadi lebih berkesan dan menarik.
Sukatan pelajaran dalam kursus Kajian Sosial ini merangkumi bidang sains kemanusiaan dan sains kemasyarakatan iaitu pengintegrasian disiplin sosiologi, sejarah, ekonomi, geografi dan sains politik. Pengintergrasian disiplin-displin ini dibuat untuk mengkaji dan melihat pola interaksi manusia dalam pelbagai budaya. Hal ini dilaksanakan agar pengajian secara menyeluruh tentang budaya kehidupan manusia sejagat amnya dan masyarakat Malaysia khususnya dapat dibuat.
Sukatan pelajaran ini dirangka sebegitu rupa supaya dapat menyediakan guru-guru berpengetahuan luas dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan serta berketrampilan sesuai dengan kehendak pendidikan terkini. Kandungan sukatan dalam kursus ini menumpukan kepada penyediaan guru untuk mengajar mata pelajaran Kajian Tempatan dan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dalam sistem sekolah rendah di negara ini. Semua tajuk dalam modul kursus menjurus kepada matlamat ini.
Kajian Tempatan
Kajian Tempatan mula diperkenalkan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1994 dan diajar di sekolah rendah mulai Tahap 2 iaitu pada Tahun 4, 5 dan 6 persekolahan. Ini bermakna, lingkungan umur murid yang mengikuti mata pelajaran tersebut adalah di antara 10 tahun hingga 12 tahun.
Menurut Piaget (1969), murid dalam lingkungan umur 10 hingga 12 telah mencapai tahap untuk memahami konsep positif dan negatif. Merujuk kajian awal Piaget (1937), kanak-kanak dalam lingkungan umur ini mengalami proses kognitif yang membantu mereka memahami sesuatu konsep. Bahan maujud yang mereka lihat dan kenal boleh membantu mereka membentuk konsep tentang sesutu perkara atau benda. Sebagai contoh, murid boleh mengenali pokok, bakul, rumah atau jambatan apabila mereka melihat rupa, bentuk, warna, saiz atau kegunaannya pada mereka. Oleh kerana organisasi kandungan dan bidang pembelajaran Kajian Tempatan merangkumi bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan (iaitu berkaitan dengan manusia dan masyarakat), murid di Tahun 4, 5 dan 6 diandaikan dapat memahami dan menghayati aspek ini apabila mereka didedahkan kepada konsep Rumah Sebagai keperluan Asas (Tema 1) hingga ke konsep yang lebih luas iaitu Kejayaan dan Kebanggaan Negara (Tema 6).
Matlamat
Mata pelajaran Kajian Tempatan bertujuan melahirkan murid yang setia pada negara, cinta akan tanah air, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Melalui pembelajaran Kajian Tempatan murid dapat berinteraksi secara berkesan ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab, harmonis, bersatu padu, demokratik, progresif dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.
Mata pelajaran ini terkandung dalam disiplin kemanusiaan dan kemasyarakatan yang mengkaji pola interaksi manusia sebagai ahli kelompok yang mempunyai budaya dan kepercayaan. Dari aspek ilmu pengetahuan, Kajian Tempatan mengkaji tentang “orang” dan “tempat”. Aspek "orang” dan “tempat” ini sentiasa berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Maknanya di sini, faktor penghuni (“orang”) sentiasa pengaruh mempengaruhi dengan faktor spatial (“tempat”).
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Sekolah rendah juga menawarkan pengajaran bidang kajian sosial melalui matapelajaran baru iaitu Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK). Mata pelajaran ini mula diperkenalkan di sekolah rendah kepada murid Tahun 4 pada tahun 2005. Seterusnya PSK diteruskan diajar di Tahun 5 pada tahun 2006 dan di Tahun 6 pada 2007. Matlamat mata pelajaran ini adalah untuk memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak dan tangungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.
HURAIAN SUKATAN PELAJARAN KAJIAN SOSIAL
1.2.1 Disiplin Kajian Sosial
Kajian Tempatan dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan mempunyai kandungan sukatan yang ingin melahirkan murid:
.... yang berpengetahuan tentang hubungan mereka dengan masyarakat, mengapresiasi
warisan sejarah negara, alam sekeliling serta kejayaan yang dicapai oleh negara ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang harmonis, penyayang dan sentiasa mensyukuri nikmat Tuhan.
(PPK, Sukatan Pelajaran KBSR Kajian Tempatan Tahun 4)
dan murid yang tahu:
.... tentang peranan, hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik dan yang boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia.
(PPK Sukatan Pelajaran KBSR Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, 2004:2)
Kajian Tempatan
a. Organisasi Kandungan
Skop Kandungan Pertama menekankan pemahaman rumah sebagai keperluan asas manusia serta kawasan persekitarannya, menekankan interaksi murid dan masyarakat serta menggalakkan amalan nilai-nilai hidup yang murni.
Skop Kandungan Kedua memberi pengenalan tentang negara kita dan sejarahnya supaya murid cinta dan bangga dengan persekitaran dan warisan sejarah negara mereka. Murid juga diberi pendedahan beberapa jenis iklim dan tumbuhan semula jadi di beberapa kawasan iklim dunia.
Skop Kandungan Ketiga memberi pendedahan kepada murid tentang ekonomi dan kejayaan negara. Ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan murid tentang usaha pembinaan bangsa dan negara Malaysia serta hala tuju pembangunan negara.
Bidang Pembelajaran
Kajian Tempatan bertujuan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran murid untuk memahami dan menghargai perihal setempat. Jadi, bidang pembelajarannya diolah secara berstruktur iaitu ada pemeringkatan dari yang hampir kepada yang jauh dan dari yang mudah kepada yang kompleks, serta dari yang konkrit kepada yang abstrak. Maknanya murid mengalami pembelajaran secara konteks tentang perkara yang hampir dan yang dialami terlebih dahulu sebelum mereka dibawa jauh dalam bidang pembelajaran.
Murid akan dapat melihat skop kefahamannya dari perspektif yang hampir dengannya iaitu konsep rumah dan perihal kawasan setempat. Murid akan dapat melihat peranan rumah sebagai salah satu keperluan asas manusia. Di samping itu murid juga akan dapat melihat kesan perubahan zaman dalam aspek reka bentuk tempat tinggal dan bagaimana manusia mula mempelbagaikan jenis petempatan mereka. Selanjutnya, beberapa jenis rumah di luar negara diperkenalkan bertujuan untuk memberi gambaran am tentang keadaan petempatan di negara lain.
Perihal Setempat pula akan menghuraikan aspek fizikal, cuaca dan isu setempat. Murid akan memahami lokasi dan identiti tempat tinggal mereka dari segi sejarah, keistimewaan, corak pentadbiran, kemudahan dan perkhidmatan awam yang disediakan. Di samping itu, mereka dapat mengenali pelbagai ciri kehidupan masyarakat setempat. Ini memberi penerangan jelas bahawa tempat tinggal mereka mempunyai ciri-ciri tersendiri di samping memberi pelbagai kemudahan untuk keselesaan hidup mereka dan masyarakat.
Apabila berada dalam Tahun 5, murid akan mengkaji lokasi Malaysia di Asia Tenggara dan di dunia. Aspek lain yang dikaji adalah geografi fizikal, cuaca, tumbuhtumbuhan semula jadi dan hidupan liar di dunia mengikut zon. Ini bertujuan membantu mereka memahami ciri-ciri negara sendiri, keistimewaannya dan perbezaannya dengan negara lain. Ini sebagai tanda awal untuk memberi kesedaran bahawa Malaysia dan negara-negara lain sentiasa bekerjasama dan saling bergantungan dalam pelbagai aspek. Konsep kebergantungan inilah yang akan membawa kepada konsep globalisasi dan dipelajari apabila mereka meningkat ke sekolah menengah.
Di Tahun 6 pula, kita dapat menunjukkan pembangunan ekonomi dan kejayaan yang membanggakan negara. Murid akan mendalami tentang sumber semula jadi,kegiatan-kegiatan ekonomi serta implikasinya terhadap alam sekitar. Dari sudut kejayaan dan kebanggan negara, pelajar akan dapat memahami pengertian kemerdekaan dan pembentukan Malaysia serta mengetahui warisan negara. Ini akan membantu murid untuk lebih dekat lagi memahami negaranya dan segala usaha serta perjuangan untuk menjadikan negaranya sampai ke tahap ini akan lebih jelas difahaminya.
Bukankah pada umur 12 tahun (Tahun 6) murid sudah matang untuk mengetahui hal tentang tanah airnya dengan lebih mendalam lagi?
Kandungan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan KBSR
Dalam huraian sukatan pelajaran (HSP), anda didedahkan dengan matlamat dan objektif, organisasi kandungan dan huraian Kurikulum Kajian Tempatan. Dalam HSP sama ada Tahun 4, 5 atau 6, terdapat empat lajur utama yang menerangkan perincian sukatan dari aspek tema/topik, hasil pembelajaran, unsur patriotisme dan cadangan aktiviti pengajaran pembelajaran. Perincian dalam lajur adalah seperti berikut:
Lajur pertama mengandungi Tema/Topik, Subtopik dan pecahan-pecahan subtopik. Contoh pembahagian kepada pecahan ini dihuraikan seperti dalam Jadual 1.4.
Dalam lajur kedua tercatat hasil pembelajaran (HP) untuk setiap subtopik. Apa yang dimaksudkan dengan hasil pembelajaran? Hasil pembelajaran bermaksud kemahiran dan pengalaman pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Pernyataan HP dicatat secara spesifik, jelas dan tepat supaya mudah diukur objektif pelaksanaan pengajaran pembelajarannya. Anda akan didedahkan tentang hasil pembelajaran dengan lebih lanjut dalam Tajuk 4 modul ini.
Lajur ketiga menyenaraikan unsur patriotisme yang ingin dipupuk dalam pengajaran pembelajaran. Unsur ini merupakan aspek unggul dalam Kajian Tempatan kerana proses pengajaran dan pembelajaran sepatutnya dapat menerapkan dan menyepadukan unsur patriotisme secara langsung dan terancang. Unsur patriotisme yang disenaraikan merangkumi segala aspek kesedaran dan penghayatan nilai yang ingin dipupuk sebagai individu dalam keluarga dan sebagai warganegara yang cintakan negaranya. Antara contoh unsur patriotisme yang sedia tercatat dalam lajur ini ialah seperti berbangga dengan tempat tinggal sendiri, bersyukur dengan persekitaran semula jadi yang terdapat di kawasan tempat tinggal murid ( muka surat 21 dan 22 dalam HSP Tahun 4).
Lajur keempat pula mencadangkan contoh aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh anda dalam pengajaran topik keci/subtopik dan perincian subtopik. Aktiviti tersebut mengambil kira pendekatan yang bersepadu dan strategi yang berasaskan murid. Anda msebagai guru haruslah menyesuaikannya dengan latar belakang murid anda dan enjadikan tahap pencapaian murid sebagai panduan supaya pembelajaran murid lebih menyeronokkan, aktif dan berkesan.
Pengurusan Grafik Isi Kandungan Sukatan Pelajaran Kajian Tempatan KBSR
Bagi memudahkan anda memahami sukatan pelajaran Kajian Tempatan KBSR, pelbagai bentuk grafik boleh digunakan untuk merumuskan semua isi kandungan sukatan pelajaran.
Pengurusan grafik (graphic organiser) dapat membantu guru menyampaikan idea atau isi pelajaran secara tersusun dan berkualiti. Anda perlulah bijak untuk memilih grafik yang sesuai untuk membantu pemahaman anda tentang sukatan pelajaran. Pengurusan grafik seperti sebab dan akibat, membanding beza dan pengkelasan amat berguna untuk membantu anda memahami dan mengingati sukatan dengan mudah.
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Organisasi Kandungan
Sivik merujuk kepada kesedaran untuk memupuk hubungan individu dengan masyarakat sekeliling. Kewarganegaraan pula merujuk kepada hubungan individu dengan Negara. Ini bermaksud kesedaran sivik memberi implikasi kepada kesedaran demi menjaga hubungan baik dengan orang lain dalam masyarakat. Kesedaran kewarganegaraan mengupayakan seseorang individu menjadikan dirinya bertanggungjawab kepada negara tanah tumpah darahnya. Dalam hal ini guru menjadi penggerak untuk memupuk nilai sivik dan kewarganegaraan di kalangan murid semasa mereka di bangku sekolah. Dengan itu diharapkan akan tertanamlah nilai sivik dan kewarganegaraan sebagai satu budaya dalam kehidupan murid sehingga mereka meningkat dewasa.
Bidang Pembelajaran
Dalam organisasi kandungan jelas menunjukkan pemupukan kesedaran sivik dan kewarganegaraan yang bermula dari dalam diri seseorang sehingga ke peringkat tahap bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Bidang pembelajaran ini disusun mengikut tema yang mudah dan berkaitan dengan diri murid. Tema yang berpaksikan murid menjadi peneraju utama untuk memupuk kesedaran yang mendalam di peringkat mereka yang ibarat rebung.
Mempunyai pengetahuan tentang institusi yang menentukan kuasa pemerintahan negaranya dan, kesedaran bahawa undang-undang (rule of law) yang diguna pakai dan diterima sebagai sah dalam perhubungan antara ahli dalam masyarakatnya merupakan satu daripada perkara utama dalam pendidikan sivik. Dalam masa yang sama, ahli masyarakat sebagai insan biasa, mempunyai hak asasi yang diiktiraf sejagat. Hak Asasi Manusia ini merangkumi hak sivik dan hak politik. Hak politik dimaksudkan hak dan obligasi seseorang sebagai warganegara yang sah. Dalam hal ini UNSECO (Citizenship Education for the 21st Century)(http://www.unesco.org/) menjelaskan:
The individual as a subject of ethics and law, entitled to all the rights inherent in the human condition (human rights): and, The citizen – entitled to the civil and political rights recognized by the national constitution of the country concerned
How can we get young people to care about their country, believe in their ability to make a difference, and assume the responsibilities of democratic citizenship? (It is by) engaging students in solving real life community problems and developing the kind of public spirited character so vital for the survival of our democracy."
Thomas Lickona, penulis buku Educating for Character, Editorial Advisor to Active Citizenship (http://www.activecitizenship.org) (disedut pada 15 Mei 2006)
Kandungan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan KBSR
Huraian Sukatan Pelajaran PSK dipecahkan kepada tiga lajur iaitu Tema dan Tajuk, Hasil Pembelajaran dan Cadangan Aktiviti. Ketiga-tiga aspek ini memberi huraian tentang perkara asas dalam sukatan iaitu apa tajuknya, apa yang ingin dicapai dari pelaksanaan tajuk dan apakah aktiviti yang perlu dilaksanakan.
(i) Tema
Tema diletakkan dalam lajur pertama huraian. Ia dikembangkan dengan tajuk pengajaran bersama huraiannya mengikut skop yang ditentukan mengikut tahun pengajaran.
(ii) Hasil Pembelajaran
Penerangan tentang perkara yang ingin dicapai berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diharap dapat dicapai oleh murid merupakan hasil pembelajaran mata pelajaran. Hasil pembelajaran perlu dicatat dalam kata-kata yang boleh diukur dan jelas.
(iii) Cadangan Aktiviti
Cadangan aktiviti disusun supaya boleh membantu guru merangka aktiviti yang membantu murid mencapai hasil pembelajaran bagi tema dan tajuk. Walau bagaimanapun aktiviti lain yang sesuai dengan tahap pencapaian murid boleh digunakan jika ini boleh membantu guru dalam mencapai hasil pembelajaran.
Penerangan Isi Kandungan Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) KBSR
PSK KBSR menumpukan kepekaan dan kesedaran yang bermula dari pengembangan pengetahuan, latihan kemahiran dan pemupukan nilai yang mendalam untuk menjadi manusia yang berguna, beretika dalam hidup dan sedar akan peranan sebagai individu yang bermaruah dalam sebuah negara yang berdaulat.
PENERAPAN NILAI MURNI, UNSUR PATRIOTISME DAN ALAM SEKITAR
Unsur patriotisme, nilai murni dan nilai alam sekitar amat perlu diterapkan dalam pengajaran pembelajaran KT, PSK serta mata pelajaran di sekolah menengah seperti Sejarah dan Geografi. Lebih istimewa lagi ialah unsur patriotisme menjadi ciri kepada keunikan mata pelajaran KT dan PSK di peringkat sekolah rendah. Apabila diadun dengan nilai murni dan nilai alam sekitar, sahsiah murid dapat dibentuk dari peringkat awal alam persekolahan murid.
Unsur Patriotisme, Nilai Murni dan Nilai Alam Sekitar
SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Segala bahan dan alat di dunia ini adalah sumber seperti sumber semulajadi seperti matahari dan air. Dalam bidang pendidikan, sumber merupakan segala bahan dan alat yang dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Buku Sumber, Dokumen, Artikel
Sumber jenis ini merupakan bahan bercetak. Ia perlu disediakan dengan menarik, dalam bentuk pelbagai jenis, berwarna warni dan di dalam pelbagai bentuk supaya ia merangsang pembelajaran. Sumber juga dianggap sebagai bahan rujukan. Ini kerana bahan rujukan adalah bahan yang diguna dan dirujuk oleh guru untuk menyediakan isi pelajaran yang hendak diajarkan.
Aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Alat Teknologi Pendidikan
Sumber terkini ini lebih mudah dikendalikan dan lebih menarik. Persembahan yang berbantukan sumber seperti audio dan animasi lebih berunsur interaktif. Sumber teknologi maklumat dan komunikasi yang sofistikated masa kini membolehkan pembelajaran interaktif berlangsung dengan lebih berkesan dan menarik. Jenis sumber seperti ini merangkumi komputer, telefon, dan sidang video. Alat teknologi pendidikan pula meliputi microfich, radio, televisyen video, film, slide dan lutsinar.
Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi meliputi:
A. Perisian Multimedia
Perisian multimedia boleh dikaitkan dengan integrasi ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menyediakan perisian multimedia ini semasa mengajar sesuatu tajuk di dalam bilik darjah. Guru perlu mahir menggunakan komputer untuk membuat perisian. Perisian multimedia bermaksud menggabungkan elemen-elemen teks, grafik, animasi, bunyi, video dan lain-lain untuk mempersembahkan maklumat dengan tepat dan menarik perhatian pelajar.
B. Internet
Ilmu yang terdapat di dalam internet adalah milik sejagat. Bahan yang ada di dalam internet merupakan satu penawaran maklumat di samping merupakan satu punca ilmu. Internet juga memberi ruang kepada guru untuk mendapat maklumat berbentuk ilmu pengetahuan secara jaringan yang telah dinaikmuat oleh pelbagai punca kepakaran sama ada institusi, organisasi atau individu .
Walau bagaimanapun kita tidak harus menganggap semua fakta atau informasi dari internet adalah betul dan tepat. Seseorang itu perlu melihat kesahihan puncanya sama ada disediakan oleh badan-badan seperti institusi akademik, pihak kerajaan, syarikat persendirian atau pihak lain. Jika bahan diambil daripada sumber internet, seorang guru mestilah mencatat sumbernya dengan tepat. Di samping untuk menentukan validity maklumat, tindakan mencatat punca sumber adalah untuk mengelakkan dari plagiarisma.
Aplikasi teknologi pendidikan pula meliputi :
A. Penyediaan bahan Audio/visual
Audio/visual memerlukan peralatan asas yang digunakan di dalam penerbitan saperti alat perakam, mikrofon, pengadun suara, kaset atau pita audio dan kabel-kabel yang sesuai. Guru perlu memastikan bahawa kabel-kabel tersebut dipasang dengan betul.Video pula adalah merupakan salah satu daripada media yang bergerak dan boleh menghasilkan imej yang realistik serta sangat bermanfaat di dalam penyampaian sesuatu mesej kepada pelajar yang menontonnya. Media ini mempunyai kelebihan kerana ia boleh dipercepatkan atau diperlambatkan tayangan rakaman tersebut mengikut kesesuaian. Ia juga boleh membawa imej luar bilik dajah ke dalam bilik darjah dengan bentuk situasi sebenar.
B. Transperansi
Transperansi boleh dihasilkan dengan berbagai cara seperti menulis terus, transperasi bertingkap, transperasi berjalur, transperasi bertindih, transperasi pusingangan dan transperasi animasi. Guru perlu kemahiran menghasilkan transperansi dengan lebih menarik dan berwarna warni. Kemahiran menulis dan melukis juga diperlukan. Penggunaan transperansi merupakan cara yang paling mudah kerana ia lebih murah dan cepat.
Bahan-Bahan Maujud
Bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Bahan maujud ini boleh merupakan kota atau bangunan yang kekal dan ia menjadi sumber rujukan apabila kita mebawa pelajar ke tempat tersebut. Bahan jenis ini juga mungkin berbentuk alam sekitar yang wujud dipersekitaran kita.
Alat bantuan mengajar juga merupakan bahan maujud. Ia merangkumi alat komputer, OHP, alat tulis, perkakas sains dan lain seperti yang disebut di atas.
